Berita

Tidak sengaja lepaskan tembakan, pengawal keselamatan disiasat

Kredit foto: Polis Daerah Petaling Jaya
- Diterbit 27 Disember 2023 10:10 AM MYT

Tindakan seorang pengawal keselamatan yang secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan ke arah lantai di sebuah institusi kewangan di Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, Petaling Jaya hari ini menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk di situ pecah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Beliau berkata polis menerima pemakluman kes itu pada 10.13 pagi tadi daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di institusi kewangan itu sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditugaskan ke lokasi.

“Hasil siasatan mendapati pengawal keselamatan berumur 50-an itu menggunakan senjata jenis pump gun telah melepaskan satu das tembakan ke arah lantai sehingga menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk telah pecah.

“Tiada sebarang cubaan samun dan pengawal keselamatan itu juga negatif dadah. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan malam ini.

M. Hussin Sollehuddin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui talian 03-7966 2222.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas