Berita

Tiada kenaikan harga barang di Labuan

LAWATAN turun padang KPDNHEP Labuan bersama PL diteruskan bagi memantau harga barangan.
- Diterbit 20 Ogos 2022 6:00 AM MYT

HARGA barangan keperluan asas seperti gandum, gula dan minyak masak di Pulau Bebas Cukai ini kekal stabil.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Ismail berkata Pihak Berkuasa Tempatan di sini telah menyelaras dengan agensi dan pembekal makanan yang berkaitan untuk memastikan tiada gangguan dalam rantaian bekalan makanan.

“Pemeriksaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di pasar raya besar dan pasar raya mendapati tiada kenaikan harga dan bekalan barangan keperluan mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantau harga di salah sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Rithuan berkata bahawa bekalan telur ayam di pulau ini masih tidak mencukupi dan harga telur dalam kategori yang tiada dalam senarai harga kawalan telur Gred AA, D dan Omega.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Labuan, Junaidah Arbain berkata kementerian telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan kesinambungan bekalan sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya turut menasihati pemborong dan peruncit supaya menguruskan stok simpanan mereka secara bertanggungjawab.

Junaidah turut memberi peringatan kepada peniaga supaya mengelak daripada menyorok bagi mengelakkan lonjakan harga, pembelian panik dalam kalangan pengguna di Labuan.

“Penghantaran yang tertangguh dan permintaan meningkat berikutan kebimbangan pengguna yang menyimpan stok telah menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutama di kawasan kampung,” katanya.

Beliau turut menyediakan senarai terkini harga semasa beberapa barangan keperluan di sini, termasuk ayam standard RM11.30 sekilogram (kg), ayam super (RM12.30 sekilogram), gula (RM2.85 sekilogram) dan tepung gandum (RM3 hingga RM4.90 sekilogram bergantung kepada jenama). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas