Berita

Program #SchoolTour SPM PTTI gegar sekolah seluruh Malaysia

|PTTI memulakan program #SchoolTourSPM ke sekolah di seluruh Malaysia bagi membantu pelajar yang bakal menduduki SPM.||CIKGU Fana sentiasa memastikan yang terbaik buat calon SPM.||
- Diterbit 19 Ogos 2022 8:08 AM MYT

PUSAT peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI memulakan program #SchoolTourSPM ke sekolah di seluruh Malaysia bagi membantu pelajar yang bakal menduduki SPM.

Sebagai permulaan, PTTI bersama Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Fana meraikan jemputan guru kimia di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis, Kuala Lipis, Pahang, untuk berkongsi bersama lebih 160 pelajar SPM mengenai tips dan strategi skor A subjek kimia.

Cikgu Fana berkata, dia berpeluang berjumpa 15 guru kimia yang mana sebelum ini mereka hanya menonton perkongsian video dalam membantu kefahaman pelajar.

“Jemputan ini adalah inisiatif daripada guru kimia SMK Clifford, Cikgu Husaini dan disertai semua guru kimia Daerah Lipis.

“Mereka sangat teruja dapat berjumpa kerana selama ini hanya menonton video yang saya kongsikan untuk membantu kefahaman pelajar yang bakal menduduki SPM.

“Sesi ini bermula dari pagi hingga petang yang turut membabitkan lebih 160 pelajar SPM mana saya berkongsi tips sebagai persediaan awal menghadapi percubaan SPM terutama subjek Kimia.

“Insya-Allah, menerusi program ini kami berhasrat untuk membantu dan berkerjasama dengan lebih banyak sekolah sebagai persediaan untuk menghadapi SPM,” katanya.

PTTI memulakan program #SchoolTourSPM ke sekolah di seluruh Malaysia bagi membantu pelajar yang bakal menduduki SPM.


Menurut Cikgu Fana, program #SchoolTourSPM bakal diteruskan di beberapa lagi sekolah dalam negara tidak lama lagi.

“PTTI percaya kolaborasi pihak sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama pihak swasta dapat meningkatkan prestasi pelajar menjelang SPM dengan sasaran lebih 60 peratus pelajar lulus dan mendapat sekurang kurangnya 5A dan ke atas.

“Kami melihat kepada potensi generasi sekarang yang mampu dipupuk dengan penggunaan teknologi interaktif dapat merangsang minat yang lebih mendalam terutamanya dalam bidang STEM dan inovasi teknologi baru,” katanya.

CIKGU Fana sentiasa memastikan yang terbaik buat calon SPM.

Untuk rekod, seramai 96 pelajar SPM 2021 yang mengikuti pembelajaran dan latihan disediakan PTTI memperoleh semua A berbanding 34 pelajar pada 2020 dengan menyaksikan peningkatan sebanyak 188 peratus.

Sementara itu, seramai 383 pelajar mendapat 7A ke atas (2021) berbanding 158 pelajar (2020) dan peningkatan sebanyak 143 peratus.

Selain itu, 522 pelajar memperoleh 5A ke atas pada 2021 berbanding 366 pelajar pada 2020 dengan jumlah peningkatan 43 peratus. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas