Berita

Terbuka Indonesia: EE Yi-Yew Sin lepasi halangan pertama

Malaysia's Ong Yew Sin and Teo Ee Yi in action to beat Lee Yang and Wang Chi-Lin of Chinese Taipei during the second round of Malaysian open badminon at Arena Axiata in Bukit Jalil yesterday.The Malaysian pair won 21-17,21-18.(30/6/22/ S.S.Kanesan/The Star)
- Diterbit 13 Jun 2023 2:30 PM MYT

BEREGU lelaki profesional negara, Teo EeYi-Ong Yew Sin memulakan kejohanan Terbuka Indonesia 2023 dengan langkah kanan apabila bangkit untuk menewaskan wakil India pada aksi pusingan pertama di Stadium Istora Senayan, Jakarta, hari ini.

Beregu ranking ketujuh dunia itu mengekalkan rekod bersih dalam empat pertemuan dengan M.R Arjun-Dhruv Kapila dengan keputusan 12-21, 21-6, 22-20.

Dalam pusingan kedua, esok, Ee Yi-Yew Sin akan berdepan dengan beregu tuan rumah, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang menewaskan gandingan Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei, 23-21, 8-21, 21-12.

Berbeza nasib perseorangan lelaki negara, Ng Tze Young, yang ditunjukkan jalan keluar awal selepas dibenam bekas juara All England, Shi Yuqi dari China, i 7-21, 21-7, 13-21.

Mengulas mengenai perlawanan, Tze Young, pemain ranking ke-21 dunia, mengakui sukar mengawal perlawanan di set penentuan meskipun telah bangkit pada set kedua.

“Jadi untuk mendapat mata pada set penentuan agak gemuruh sedikit. Saya akan berbincang lagi dengan jurulatih,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menerima nasib sama apabila ditewaskan pasangan tuan rumah, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, 21-13, 24-26, 17-21.

Satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal mengekalkan prestasi di Terbuka Singapura, yang mara ke separuh akhir, apabila turut ‘bungkus’ awal selepas tewas di tangan pasangan Jepun, Hiroki Midorikiwa-Natsu Saito, 17-21, 21-15, 17-21.

Beregu wanita negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut mempamerkan aksi mengecewakan apabila mudah dikalahkan pasangan tuan rumah, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Alleyssya Rose, 18-21, 21-23. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas