Berita

JAWI lantik 2,678 anggota Jawatankuasa Kariah masjid, surau Jumaat WP sesi 2023-2026

NA'IM Mokhtar menyampaikan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kariah kepada salah seorang anggota Jawatankuasa Masjid dan Surau Jumaat. FOTO - FACEBOOK JAWI
- Diterbit 13 Jun 2023 10:15 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan bagi sesi 2023 hingga 2026 kepada 2,678 anggota bertempat Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Pelantikan anggota Jawatankuasa tersebut melibatkan 90 buah masjid dan 116 Surau Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu dilaksanakan berdasarkan Akta 505 iaitu Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019.

“Pada majlis itu, anggota Jawatankuasa Kariah yang terpilih turut diberi taklimat dan pendedahan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid JAWI, Kharunna’im Ramli berkaitan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam 2019.

“Dengan ini, ia boleh menjadi medium percambahan idea dalam usaha memaksimumkan fungsi masjid sebagai pengkalan ibadah dan pusat ilmu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selain itu, ia juga bertepatan dengan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Mlaaysia MADANI (Al-Falah) ke arah memperkemaskan tadbir urus dan meningkatkan kehormatan institusi Islam,” jelas kenyataan tersebut.

Terdahulu, majlis itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar,Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Mohd Fadzil Abu Kasim, Pengerusi, Bendahari, Setiausaha dan Anggota Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas