Agama

Tepis tanggapan kolot, kuno… Madrasah An-Nuur lahirkan hafiz profesional

|||||||||||||
- Diterbit 5 Jun 2023 2:26 AM MYT

TERDAPAT sesetengah masyarakat masih tertanya-tanya, apabila seseorang memilih untuk menimba ilmu di sekolah tahfiz, apa kerjaya yang boleh mereka ceburi.

Tidakpun, hanya menjadi seorang tenaga pengajar seperti ustaz, imam masjid atau pegawai agama.

Madrasah An-Nuur (MAN) ada jawapannya. Pusat pengajian tahfiz yang terletak di Tangkak, Johor ini bukan sahaja menitikberatkan hafazan al-Quran dan ilmu agama yang bagus, malah para pelajar diberi peluang menceburi pelbagai bidang profesional seperti doktor, peguam, guru, jururawat.

PENGASAS dan pengetua Madrasah An-Nuur, Ustaz Noor Effendi Hamid.

Menurut pengasas dan pengetua MAN Ustaz Noor Effendi Hamid, ibu bapa dan masyarakat luar sana tidak perlu bimbang kerana MAN tidak hanya terhad dalam pengajian Islam malah seimbangkan dunia dan akhirat.

Malah dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Madrasah An-Nuur (MAN) Ke-19 pada 28 Mei baru-baru ini, Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dalam ucapannya telah memuji usaha yang telah dijalankan oleh MAN dalam mengeluarkan para hafiz sebagai produk insani untuk memenuhi keperluan masyarakat bukan sahaja dalam bidang Agama tetapi juga akan memenuhi keperluan dalam bidang profesional seperti bidang kedoktoran dan juruterbang.

“Ucapan mufti itu antara elemen penting dalam majlis konvokesyen itu kerana beliau memberikan wawasan yang lebih jauh kepada para pelajar.

“Beliau menjelaskan tahfiz ini bukan sahaja untuk memenuhi bidang agama di Malaysia, tapi beliau nak mereka turut memenuhi bidang profesional seperti kedoktoran, juruterbang, guru, jururawat dan sebagainya,” jelas Ustaz Effendi.

Ustaz Effendi yang kerap menjadi tetamu dalam program televisyen ini juga menyahut seruan mufti Johor dan MAN sendiri telah lama membawa konsep tersebut dalam melahirkan para hafiz yang bukan sahaja berilmu agama malah menceburi bidang profesional.

“MAN ambil tanggungjawab itu dan kita pun sudah menyediakan perancangan ke arah itu. MAN adalah antara Madrasah yang mewajibkan para pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kita akan pastikan mereka mencapai keputusan yang baik.

“Kita ke arah melahirkan hafiz yang profesional dan ini yang perlu diketengahkan dalam akhbar dan media.

“Jadi tidaklah orang anggap tahfiz ni biasa-biasa sahaja. Kita pun akan bekerjasama dengan beberapa pihak dalam usaha untuk melahirkan hafiz yang berjaya dalam bidang profesional.

“Misalnya melahirkan doktor atau juruterbang yang hafaz 30 juzuk al-Quran,” ujarnya.

PARA pelajar di Madrasah An-Nuur dididik dengan ilmu dunia dan akhirat.

Apa yang menarik, MAN juga menggalakkan para pelajarnya menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Ketika ini pun apa yang MAN tekankan adalah bukan sahaja mengajar tahfiz al-Quran seperti mana yang ramai fikir, tetapi kami juga menyediakan pelajar-pelajar yang sebaik sahaja tamat pengajian di tahfiz, mereka turut mempunyai kemahiran hidup.

“Antaranya adalah kita ada madu kelulut yang merupakan bisnes yang sangat bagus, penternakan kambing, restoran dan syarikat umrah.

“Jadi kita dapat lihat, kerjaya masa depan mereka bukan sahaja Imam, tetapi juga ahli perniagaan. Jangan tak tahu, ada antara mereka mula berniaga dengan membuka syarikat sendiri.

“Itulah kaedah yang kami ketengahkan supaya orang nampak bahawa tahfiz ini bukannya kolot, kuno dan sebagainya. Semoga MAN menjadi contoh kepada Madrasah lain,” jelasnya.

 

Konvokesyen penyuntik motivasi… angkat martabat hafiz, hafizah

Seramai 77 orang graduan dari semua program pengajian yang ditawarkan telah diraikan dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Madrasah An-Nuur (MAN) Ke-19 baru-baru ini. Majlis yang gilang gemilang ini telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad bertempat di dewan Kompleks AMAN Kesang Laut Tangkak Johor.

Semua graduan telah diarak sepanjang 7 kilometer dengan menaiki 15 buah kenderaan mewah dan 15 buah motorsikal berkuasa tinggi dari kumpulan Wings Motor Gang Society (WMGS).

MAJLIS Istiadat Konvokesyen Madrasah An-Nuur (MAN) Ke-19 pada 28 Mei lalu berlangsung dengan meriah dan mendapat pujian banyak syarikat korporat.


Ustaz Effendi berkata bahawa sejak penubuhan MAN pada tahun 2000 sehingga hari berlangsungnya Majlis Istiadat Konvokesyen, MAN telah berjaya melahirkan 579 orang graduan hafiz dan hafizah yang kini sudah melanjutkan pengajian ke tahap seterusnya di dalam dan luar negara samada dalam bidang Agama mahupun bidang profesional.

“Kita tahu susah payah para pelajar hafaz al-Quran dan usaha guru yang hebat, jadi kita nak memartabatkan mereka dengan menganjurkan konvokesyen.

“Kali pertama kami buat pada tahun 2016. Sejak itu kita nampaklah para pelajar yang belum tamat pengajian ini lebih teruja untuk sampai ke tahap itu (konvokesyen). Boleh dikatakan ini penyuntik semangat dan motivasi untuk mereka.

“ Alhamdulillah… selepas itu kita buat dalam dua atau tiga tahun sekali. Baru-baru ini konvokesyen yang ke-19 pada 28 Mei lalu,” tambahnya.

Dalam majlis istiadat ini, anugerah guru cemerlang juga telah dilangsungkan yang mana Firdaus Tuah dan Nor Jannah Omar telah dinobat sebagai penerima anugerah guru cemerlang dan gigih.

Selain itu Ustaz Hanafi hamzah, Cikgu Nazri Tamat dan Cikgu Marhaini Ahmad juga telah menerima anugerah dalam bidang masing-masing.

Madrasah An-Nuur adalah madrasah tahfiz Alquran yang bukan sahaja mengajar bidang Alquran tetapi menyediakan juga pengajian tahap tadika dan juga SPM. Ummu Salamah binti Zahar telah menerima anugerah cemerlang SPM pada majlis kali ini.

Madrasah An-Nuur juga menyediakan perkhidmatan umrah dengan mutawwif berpengalaman dan bertauliah dengan kerjasama syarikat Mizwah Travel & Tours.

Untuk sebarang urusan pendaftaran dan sumbangan boleh berurusan di talian 0139865677 atau emel [email protected]   – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas