Berita

RC Pharmacy Putrajaya tawar rawatan susulan kepada pelanggan

NUR FARAH (kanan) bersama Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Mohd Akin (tengah) ketika merasmikan pembukaan RC Pharmacy, Putrajaya baru-baru ini. Turut sama, Pengarah Program, Ahmad Afif Abas.
- Diterbit 2 Jun 2023 6:00 AM MYT

PEMBUKAAN RC Pharmacy di Putrajaya bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan buat komuniti setempat serta membantu memudahkan urusan seharian.

Menurut pemilik dan juga Pegawai Farmasi, Nur Farah Mohd Yazid, 31, di setiap kawasan perumahan pastinya mempunyai dua, tiga atau lebih farmasi di kawasan berhampiran namun yang penting baginya adalah perkhidmatan ditawarkan serta pengetahuan mengenai sesuatu produk.

“Dalam sesuatu kawasan mungkin mempunyai satu atau lebih farmasi namun yang membezakan mungkin dari segi harga ditawarkan di mana ada yang dijual dengan harga lebih tinggi atau murah bergantung kepada supplier.

“Tetapi di RC Pharmacy ini saya memberi fokus terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada pembeli. Sebagai contoh sebelum ini ada seorang warga emas yang datang ke farmasi untuk mendapatkan rawatan dan beberapa minggu selepas itu, individu tersebut datang semula dan menyatakan keadaannya semakin pulih dengan bantuan rawatan yang diterima,” kongsinya perkhidmatan di RC Pharmacy bukan sahaja sekadar memberi ubat namun sesi rawatan susulan juga disediakan bagi memastikan pesakit benar-benar pulih.

Berkongsi mengenai pemilihan lokasi RC Pharmacy, Nur Farah berkata ia dipilih memandangkan Presint 8, Putrajaya mempunyai pelbagai kedai makan dan merupakan kawasan tumpuan.

“Meskipun di sini sudah mempunyai klinik dan farmasi lain namun seperti kita ketahui klinik mempunyai sasaran yang berbeza seperti penyakit kronik dan sebagainya manakala orang ramai mengunjungi farmasi bagi mendapatkan nasihat dan penerangan mengenai gaya hidup sihat, pemakanan yang lebih sihat, suplemen dan sebagainya.

“Ini merupakan cawangan pertama RC Pharmacy dan saya mengharapkan agar ia dapat berkembang dengan lebih besar serta memberikan perkhidmatan terbaik. Bagi tahun pertama ini fokus kami adalah untuk mengukuhkan jenama terlebih dahulu supaya orang ramai mengenali kami melalui servis yang ditawarkan.

“Selain itu, saya turut berharap agar RC Pharmacy tidak fokus kepada farmaseutikal sahaja dan mungkin satu hari nanti kita akan kembangkan kepada segmen-segmen perniagaan yang lebih luas.

“Dengan harapan dapat membantu anak-anak kita pada masa akan datang serta memberi peluang pekerjaan dan tiada lagi isu pengangguran,” jelasnya sebagai usahawan muda, dirinya amat menyokong hasrat Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini.

RC Pharmacy beroperasi pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam manakala Sabtu dan Ahad pada pukul 9 pagi sehingga 11 malam. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas