Tangguh bayaran balik pinjaman bank sehingga 6 bulan – PM
PENANGGUHAN bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan.

Tangguh bayaran balik pinjaman bank sehingga 6 bulan – PM

Penangguhan bayaran balik pinjaman bank akan dilanjutkan sehingga enam bulan termasuk penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat

PUTRAJAYA – Menyedari terdapat sebilangan rakyat Malaysia berhadapan dengan kesukaran sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan sehingga 14 April nanti, kerajaan menyediakan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman bank.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi inisiatif itu, penangguhan bayaran balik pinjaman bank akan dilanjutkan sehingga enam bulan termasuk penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat yang diumumkan sebelum ini.

“Saya juga tahu bahawa dalam keadaan ini, ramai pihak yang memerlukan sokongan dan bantuan. Semalam saya umumkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi yang sukar ini.

“InsyaAllah, Jumaat nanti saya akan umumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh. Pegawai-pegawai saya di Kementerian Kewangan sedang bekerja bertungkus lumus menyediakan satu pakej rangsangan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada semua.

“Sama ada pemandu teksi, grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger atau pekerja harian. Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan anda semua beroleh manfaat. InsyaAllah, no one will be left behind,” tegasnya dalam perutusan khas hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah diarahkan untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera.

Beliau juga menyeru langkah itu diikuti pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain termasuk organisasi kebajikan. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS