Berita

Pusat pengasingan, kuarantin sementara akan diwujudkan

Pergerakan orang ramai mesti terus dikawal, putuskan rantaian wabak Covid-19
Institut Sosial Malaysia Kini Diwartakan Sebagai Antara Pusat Kuarantin Covid-19.
- Diterbit 25 Mac 2020 6:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Berikutan peningkatan kes jangkitan wabak Covid-19 di negara ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital khusus untuk menerima pesakit-pesakit Covid-19.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada masa ini 34 peratus daripada kapasiti katil hospital sudah digunakan, manakala bakinya (66 peratus) masih boleh menampung pesakit.

“Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif Covid-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara.

“Keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar, Covid-19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan akan berubah sekelip mata, kadar jangkitannya begitu cepat.

“Hari ini seramai 422,829 orang dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian. Di negara kita, daripada kes pertama jangkitan Covid- 19 dikesan, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, jumlah kes positif meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini,” ujar beliau dalam perutusan khas hari ini.

Perdana Menteri turut memaklumkan, kes positif Covid-19 meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu yang mana kes kematian juga meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor.

Ujar beliau, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan bahawa peningkatan kes positif Covid-19 dijangka meningkat lebih tinggi, oleh itu, usaha-usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan wabak tersebut termasuk memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya.

“Ini bermakna, pergerakan orang ramai mesti terus dikawal. Strategi kerajaan ialah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit Covid-19. KKM akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala yang lebih besar termasuk mass testing khususnya di kawasan yang berisiko tinggi.

“Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus menerusi pergaulan harian. Justeru, orang ramai mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama,” tegas beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas