Berita

Perintah Kawalan Pergerakan dilanjut sehingga 14 April ini

Trend itu dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun
PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini.
- Diterbit 25 Mac 2020 5:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 14 April nanti bagi memastikan rangkaian wabak Covid-19 dapat dihentikan di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lanjutan itu berdasarkan taklimat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyatakan trend semasa menunjukkan kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku.

Jelas beliau, trend itu dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun.

“Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

“Sehubungan itu, kerajaan memutuskan tempoh pelaksanaan dilanjutkan sehingga 14 April ini. Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Bagi memastikan pelaksanaan itu berkesan, Perdana Menteri menyeru orang ramai yang berada di kampung tidak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur sebaliknya duduk di kampung dan jangan ke mana-mana manakala pelajar pula tidakperlu balik ke asrama dan pejabat tidak perlu dibuka lagi.

Beliau turut meminta orang ramai membuat perancangan awal sekiranya mempunyai perkara penting yang ingin diurus dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Please stay calm and don’t panic. Eventhough we have extended the Movement Control Order, you don’t have to unnecessarily stock up on food because the supply is sufficient. I assure you that food is enough for everybody.I know you feel burdened but I don’t have a choice. I have to extend the Movement Control Order for your own
safety,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan, tempoh kuat kuasa perintah tersebut akan dikaji dari semasa ke semasa dan pengumuman akan dibuat sekiranya terdapat keperluan untuk dilanjutkan lagi.

Tambah beliau, kementerian juga telah diarahkan untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas