Berita

Tan Sri Azizan Ariffin dilantik Pengerusi LTAT yang baharu

- Diterbit 29 Mac 2024 6:55 PM MYT

BEKAS Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Azizan Ariffin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) manakala Ketua Pegawai Kewangan lembaga itu, Mohammad Ashraf Md Radzi  dilantik sebagai Ketua Eksekutif berkuat kuasa 1 April ini.

LTAT dalam kenyataan hari ini berkata Azizan yang berpengalaman 40 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia pernah memegang pelbagai jawatan penting sepanjang perkhidmatannya termasuk Panglima Operasi Udara, Timbalan Panglima Tentera Udara serta mencipta sejarah menjadi Panglima Angkatan Tentera pertama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia.

Beliau mendapat pendidikan ketenteraan dari Air Command and Staff College (USA) dan National Defence College (India) serta mengikuti Kursus Asas Penerbangan di Australia, selain menerima kelayakan menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia pada 7 Julai 1977.

“Pengalaman beliau yang luas dalam hal-hal ketenteraan, diplomasi dan pembangunan kepimpinan diyakini akan mendorong LTAT agar terus mencapai objektif strategiknya dan meningkatkan peranan dalam menjaga kebajikan anggota ATM dan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, LTAT memaklumkan Mohammad Ashraf, pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan dari Universiti Tenaga Nasional dan merupakan akauntan bertauliah, telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan LTAT sejak Mac 2020.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah menunjukkan kecekapan dalam menguruskan hal ehwal kewangan, memimpin perangkaan strategi kewangan dan memastikan kepatuhan kepada prinsip-prinsip kebertanggungjawaban kewangan di LTAT.

“Kepimpinan beliau telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada agenda transformasi organisasi yang berjaya memulihkan dividen kepada tahap yang mampan serta meningkatkan kedudukan kewangan secara keseluruhannya,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas