Berita

Tahun Baharu Cina: PLUS tumpu empat strategi urus peningkatan kenderaan

PLUS tumpu empat strategi urus peningkatan kenderaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
- Diterbit 7 Februari 2024 5:25 PM MYT

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberi tumpuan kepada empat strategi khusus bagi menguruskan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya kendalian syarikat itu pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata strategi itu merangkumi keselesaan pengguna, pengurusan trafik, pengagihan trafik dan komunikasi yang efisien.

“Lebuh raya PLUS sering mencatatkan peningkatan trafik yang konsisten sehingga 2 juta kenderaan sehari setiap kali musim perayaan dan menjangkakan peningkatan kepada 2.1 juta kenderaan sehari berdasarkan trend pergerakan kenderaan pada ketika ini.

“Seramai 450 anggota PLUSRonda akan membuat rondaan bagi memberi bantuan kepada pengguna lebuh raya selain tiada penutupan lorong akan dilaksanakan di antara 5 hingga 16 Feb ini bersempena musim perayaan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata sebanyak 14 lokasi tumpuan trafik akan diaktifkan pada masa dan tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan PLUS menambah kapasiti lorong di laluan-laluan terbabit untuk melancarkan pergerakan trafik.

“Kami juga amat mengalu-alukan pengumuman larangan kenderaan berat di lebuh raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Pengangkutan yang berkuat kuasa pada 8 hingga 9 Feb dan 12 hingga 13 Feb ini agar dapat memberi peluang kepada pengguna bergerak dengan lebih lancar dan selesa di musim perayaan,” katanya.

Pada 30 Jan lepas, PLUS melancarkan fitur MYPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS untuk kemudahan pengguna lebuh raya merancang perjalanan semasa musim perayaaan, selain membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya menerusi strategi pengagihan trafik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas