Tagih janji DBKL bina rumah baharu

Tagih janji DBKL bina rumah baharu

Oleh AZLAN ZAMBRY
azlanwilayahku@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penduduk Jinjang Selatan Tambahan, Kepong di sini menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan supaya pembinaan rumah ganti untuk mereka segera dilaksanakan sebagaimana yang telah dijanjikan sebelum ini.

Setiausaha Jawantakuasa penduduk tersebut, Ameer Khan Bargathalli berkata, pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur telah melakukan lawatan tapak bersama pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 30 Januari lalu dan berjanji di hadapan kira-kira 300 penduduk untuk memulakan pembinaan rumah mereka bermula dua bulan dari tarikh itu setelah semua peraturan pembangunan diselesaikan.

“Namun sehingga hari ini, pihak pemaju tidak melaksanakan apa-apa kerja tanah untuk membina rumah ganti kepada penduduk yang terjejas” katanya kepada pemberita selepas menghantar memorandum mengenai perkara itu kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur di pekarangan Menara DBKL di sini baru-­baru ini.

Ameer Khan berkata, sebanyak 525 buah rumah telah disenarai untuk dirobohkan manakala 138 buah lagi telah dirobohkan.

“Kami akui pihak pemaju telah memberikan wang sewa rumah kepada penduduk yang terlibat sebanyak RM700 sebulan untuk sebuah rumah, namun ia tidak mencukupi kerana kos sewa rumah di kawasan itu sangat tinggi,’’ katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Azmi Abdul Hamid menjelaskan, pihaknya akan meneruskan proses bagi pembinaan rumah bagi penduduk berkenaan sehingga kelulusan pembangunan dapat dikeluarkan oleh jaba­tan terlibat.

“Pembangunan ini me­libatkan aspek teknikal dan fizikal yang rumit dan proses itu masih berjalan tetapi kita masih memberi komitmen yang tinggi untuk meneruskan pembangunan itu,’’ kata­nya.

Tambah Azmi, pihaknya menjangka Perintah Pembangunan (DO) akan dapat dikeluarkan oleh jabatan terlibat dalam masa kira-kira tiga minggu lalu.

Difahamkan sebelum ini penduduk berkenaan menduduki kawasan berkenaan atas kebenaran menduduki sementara selama 50 tahun.

CATEGORIES

COMMENTS