Berita

Ibu tunggal derita kencing manis dapat perhatian Khaira Care

NOR MUKSHAR (kiri) menyerahkan bantun mesin basuh kepada Nor
- Diterbit 20 September 2019 2:01 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kesusahan seorang ibu tunggal yang menghadapi masalah kesihatan mendapat perhatian Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), Khaira Care baru-baru ini.

Nor Haslina Mat Isa, 50, begitu terharu apabila PPZ-MAIWP melalui Khaira Care memberi sumbangan berbentuk sebuah mesin basuh dan susu khas untuknya yang disahkan menghidap penyakit kencing manis sejak tahun 2016.

“Selain penyakit ken­cing manis, saya juga terpaksa menanggung sakit lutut yang membengkak pada kaki kanan dan menghadapi ke­sukaran untuk berdiri, duduk dan berjalan,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Cheras di sini baru-baru ini.
Nor Haslina berkata, dia pernah bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya dan perlu berdiri sepanjang waktu bekerja.

“Penyakit ini telah dirujuk ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras dan atas nasihat doktor, lutut saya perlu dibedah dengan kos RM10,000,” katanya.

Nor Haslina berkata, dia menerima bantuan dari­pada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sehingga hari ini ke­rana tidak dapat bekerja atas faktor kesihatan sejak tahun 2016.

Nor Haslina mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan ma­sing-masing berumur dari 15 hingga 24 tahun yang masih belajar di pusat pengajian tinggi dan sekolah.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun berkata, CSR PPZ ini dilancarkan pada Mac lalu. “Kami bergerak berdasarkan maklumat yang diterima untuk mengisi ruang yang ada untuk menghulur bantuan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas