Berita

Hari Malaysia wadah suburkan perpaduan masyarakat

KHALID (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari
- Diterbit 20 September 2019 1:54 AM MYT

LABUAN – Hari Malaysia yang disambut pada 16 September lalu perlu dijadikan wadah bagi menyuburkan kembali pendekatan menyantuni perbezaan dan me­rayakan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, amalan perpaduan dan zero konflik kaum merupa­kan aset yang boleh menjadi salah satu daya tarikan pelancong berkunjung ke pulau ini.

“Udara yang nyaman dan wilayah yang indah bersih serta aman damai merupakan satu pakej yang sangat istimewa untuk mempertingkatkan daya tarik pelanco­ngan di wilayah ini,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019 di Dataran Labuan baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussein; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Labuan, Mimie Duasah Selvakumar.

Khalid berkata, per­paduan bukan sahaja satu perkara yang rakyat nikmati malah merupakan satu perkara yang perlu dihayati dan dipertahankan.

Menyingkap kembali pro­ses penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, Khalid berkata, salah satu dokumen yang memainkan peranan penting ke arah pembentukan Malaysia adalah Laporan Penyiasatan Suruhanjaya Cobbold yang dibentuk untuk meninjau pandangan penduduk negeri Borneo Utara dan Sarawak mengenai gagasan penubuhan Malaysia.

Laporan itu menjadi rujukan asas dan bukti persetujuan majoriti rakyat Borneo Utara dan Sarawak untuk sama-sama membentuk Malaysia pada ketika itu, katanya.

“Maka jelaslah, perpaduan rakyat juga menjadi kunci utama dalam proses pembentukan negara Malaysia yang kita cintai ini.

“Dengan itu, saya menyeru kepada semua warga Wilayah Persekutuan untuk tidak mengkhianati ama­nah iaitu sebuah perpaduan yang telah diwariskan oleh pejuang-pejuang terdahulu kepada kita semua,” tegasnya.

Khalid menyatakan, bangsa Malaysia yang sejati akan meraikan perbezaan dan mencari titik persamaan; menutup perbalahan dan menyuburkan kebersamaan; mempertahankan perpaduan demi kemajuan serta kestabilan berpanjangan.

Sambutan Hari Malaysia 2019 dimeriahkan dengan Perarakan Fiesta Bunga Raya melibatkan 58 kontinjen dengan peserta seramai 1,473 kanak-kanak tadika.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas