Berita

VOC cetus lonjakan besar kes COVID di Labuan

VOC Delta (B.1.617.2) mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, sekali gus mempercepat penularan dalam masyarakat. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 9 Jun 2021 7:37 AM MYT

VARIAN Yang Membimbangkan (VOC) COVID-19 dikenal pasti sebagai antara faktor Labuan mengalami lonjakan kes yang besar sejak beberapa hari lalu, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata  VOC Delta (B.1.617.2) mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, sekali gus mempercepat penularan dalam masyarakat.

“Mereka yang dijangkiti virus varian ini juga mengalami gejala yang teruk,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Dr Ismuni, pergerakan masyarakat semasa sambutan Aidilfitri yang lalu turut menyebabkan penularan COVID-19 meluas dengan cepat.

“Kami juga mengenal pasti sebuah keluarga yang besar tinggal bersesak di dalam sebuah rumah menyebabkan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga, serta menyukarkan pihak berkuasa untuk menstabilkan penularan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan beberapa syarikat dalam sektor penting terpaksa ditutup sementara bagi proses sanitasi selepas sejumlah kes positif dikesan dalam kalangan pekerja mereka, sementara pengesanan kes aktif dipertingkat dengan bantuan klinik swasta, membolehkan 2,000 sampel diambil setiap hari berbanding 800 sebelum ini.

Dr Ismuni berkata Labuan mencatatkan 191 kes baharu semalam selain tujuh kematian dan sebahagian kes harian baharu semalam disumbangkan oleh empat kluster aktif iaitu Patau-Patau (23 kes), Simpang Sahari (16), Simpang Sungai (7) dan Victoria Merdeka (12). — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas