Berita

Kes baharu kembali melebihi angka 6,000

SEJUMLAH 6,239 kes baharu COVID-19 direkodkan sepanjang 24 jam lepas. Kredit foto: CPRC Kebangsaan
- Diterbit 9 Jun 2021 7:42 AM MYT

KES baharu positif COVID-19 di negara ini kembali melebih angka 6,000 dalam tempoh 24 jam lepas, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham menerusi laman media sosial rasminya menyatakan sejumlah 6,239 kes baharu COVID-19 direkodkan sepanjang 24 jam lepas, meningkat berbanding 5,566 kes semalam.

Katanya berikutan itu, jumlah kumulatif kes positif di Malaysia setakat ini ialah 633,891 kes.

Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi iaitu 2,291 kes diikuti Kuala Lumpur (704), Negeri Sembilan (507), Johor (468) dan Sarawak (419).

Selain itu, Kelantan merekodkan 340 kes, Pahang dan Sabah masing-masing 232 kes, Labuan (200), Pulau Pinang (194), Perak (175), Terengganu (171), Melaka (150), Kedah (135), Putrajaya (17) manakala Perlis empat kes. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas