Berita

Piala Asia 2023 di Qatar bermula dengan acara pembukaan menakjubkan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 13 Januari 2024 12:50 AM MYT

KEJOHANAN bola sepak paling berprestij Asia, Piala Asia 2023 bermula hari ini menerusi acara pembukaan yang menakjubkan di venue ikonik Stadium Lusail dengan kapasiti 88,000 penonton, di sini.

Acara selama satu jam yang disempurnakan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani itu, dimulakan dengan persembahan teater yang menakjubkan berdasarkan karya dongeng kuno The Lost Chapter of Kelileh & Demneh.

Persembahan yang meraikan semangat setiakawan merentasi pelbagai budaya Asia itu, kemudiannya diikuti dengan kapten skuad bola sepak Qatar Hassan Al Haydos memberikan penghormatan kepada ketua pasukan Palestin Musab Battat, untuk membacakan ikrar pemain.

Suasana gilang gemilang itu kemudiannya diserikan lagi dengan pertunjukan bunga api yang menerangi kawasan stadium dan diikuti persembahan penyanyi Lubnan Abeer Nehme.

Acara perasmian itu turut dihadiri Presiden FIFA Gianni Infantino.

Ini merupakan kali ketiga Qatar menjadi tuan rumah Piala Asia, selepas edisi 1988 dan 2011.

Acara pembukaan itu kemudiannya diikuti dengan perlawanan pembukaan Kumpulan A antara pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan, menentang Lubnan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas