Berita

Mrs Malaysia World berlepas ke Las Vegas hari ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 12 Januari 2024 11:30 PM MYT

MRS Malaysia World 2023 P. Vanishaantini memulakan perjalanan ke Las Vegas, Amerika Syarikat hari ini, bagi mewakili negara dalam pertandingan Mrs World pada 14 hingga 21 Januari.

Pada pertandingan berprestij berkenaan, usahawan berusia 27 dari Seremban itu akan memperagakan busana kebangsaan berinspirasikan bentuk wau bagi memukau perhatian penonton.

Vanishaantini yang akan bersaing dengan peserta dari lebih 60 negara, ditemani suaminya seorang doktor gigi, Dr N Sundahnath.

Pengarah Urusan Mrs Malaysia World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur berkata busana yang akan diperagakan Vanishaantini merupakan pakaian wau terbesar pernah dihasilkan di Malaysia, direka khas bagi menonjolkan keunikan pakaian kebangsaan.

Dikenali ‘Puteri Wau Bulan’, busana dihasilkan oleh pereka berbakat dari Sarawak, Saran Lagong dan ditaja MS Gold, berukuran 3.8 meter tinggi dan lebar 4.8 meter dengan berat kira-kira 10 kilogram.

Harvin Kaur berkata 2023 merupakan ulang tahun kelima Mrs Malaysia World Sdn Bhd, syarikat yang diasaskan pada 2018 oleh Datuk Dr Kattayat Mohandas, seorang pakar bius terkemuka berpangkalan di Kuala Lumpur. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas