Utama

Laluan ‘tikus’ ditutup, penduduk kini lega

KERJA- kerja penutupan lorong tikus di kawasan PPR Intan Baiduri sedang giat dilakukan oleh pihak kontraktor dilantik.
- Diterbit 22 Januari 2021 10:03 AM MYT

KEBIMBANGAN sekian lama penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, kini reda setelah laluan tikus di bahagian belakang blok itu ditutup sepenuhnya, Rabu lalu.

Kerja penutupan lorong yang sebelum ini diguna oleh ratusan kenderaan setiap hari, selesai dalam masa tidak sampai dua hari hasil kerjasama dari penduduk dan kontraktok, Teraju Cahaya yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Intan Baiduri, Khairul Anuwar Yusoff, kebimbangan penduduk berkenaan keselamatan diri dan juga kanak-kanak tidak lagi membelenggu kehidupan harian mereka yang selama ini terpaksa hadapi berbagai gelagat pemandu lalu lalang di situ.

Malah katanya, masalah kesesakan yang berlaku setiap hari di dalam kawasan PPR itu juga telah tamat dan dianggap sudah selesai sepenuhnya.

“Kehidupan kini bukan sahaja tidak lagi diganggu hiruk-pikuk kenderaan lalu lalang, malah suasana hening dan mendamaikan ketika ini memberikan kegembiraan kepada penduduk dan semestinya kanak-kanak selesa bermain di kawasan lapang.

“Saya wakili Persatuan Penduduk di sini ucapkan terima kasih kepada DBKL dan pegawai bertugas terutama Wan Ghazali Manap banyak membantu selesaikan penutupan laluan haram ini. Tahniah dan syabas kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar atas tindakan pantas, dengari keluhan rakyat di bawah,” katanya yang dihubungi Akhbar Wilayahku, baru-baru ini.

Sebelum ini, akhbar sama melaporkan rungutan dan keluhan penduduk PPR Intan Baiduri akibat kebanjiran kenderaan luar lalu lalang di kawasan perumahan telah menimbulkan ketidakselesaan, malah keselamatan turut tergugat apabila pernah kemalangan.

Sementara itu menurut Khairul Anuwar, operasi penutupan lorong itu bermula 19 Januari, sehari selepas notis penutupan diperolehi dari DBKL. Pada petang keesokannya, kerja-kerja menutup longkang dan meletak penghadang konktit telah siap sepenuhnya.

KELIBAT beberapa lelaki tidak dikenali cuba mengganggu kerja-kerja menutup laluan dilakukan. Namun, setelah diberi penerangan mereka akhirnya akur arahan notis penutupan.

“Walaupun ada kekacauan kecil cuba ditimbulkan pihak tidak bersetuju laluan ini ditutup, namun ia selesai apabila tindakan rasional penduduk beri penerangan dan kemukakan notis penutupan sah maka, pihak terbabit akhirnya akur,” katanya.

Lorong bahagian belakang blok PPR Intan Baiduri telah sekian lama dijadikan laluan oleh penduduk taman berdekatan menuju ke MRR2. Oleh kerana jaraknya dekat berbanding jalan utama, maka lorong itu menjadi pilihan utama bagi kenderaan keluar dan masuk sejak tahun 2005 lagi. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas