Berita

213 CAC ditubuhkan di seluruh negara – Adham Baba

||||
- Diterbit 22 Januari 2021 10:31 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menubuhkan 213 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara bagi mengendalikan penilaian pesakit wabak yang menjalani rawatan di rumah.

Daripada jumlah itu, 40 CAC ditubuhkan di Sarawak, Pulau Pinang (30), Sabah (25), Selangor (19), Kelantan (14), Terengganu (13); masing-masing 11 buah di Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

Sebanyak 10 CAC di Johor, Negeri Sembilan (7), masing-masing 5 di Melaka, Kuala Lumpur Putrajaya dan sebuah Labuan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, CAC akan mengklasifikasi tahap pesakit COVID-19 untuk menentukan pengurusan pesakit yang seterusnya, termasuk kelulusan rawatan di rumah.

“Secara amnya, satu daerah mempunyai satu CAC dan ada kemungkinan wujudnya dua atau lebih, ia bergantung kepada bilangan pesakit yang diuruskan.

“CAC akan berperanan mengenal pasti pesakit yang sesuai untuk dipantau di rumah. Petugas kemudian akan memantau dan menilai pesakit menggunakan Home Assessment Tool (HAT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PETUGAS terlibat akan mengenal pasti serta menilai pesakit COVID-19.

Menurut Adham, pasukan terlibat juga akan bertindak mengenal pasti serta menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk sehingga memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak sesuai untuk ditempatkan di rumah.

Jelasnya lagi, CAC juga berfungsi untuk menyelaras rujukan dari klinik kesihatan ke PKRC atau hospital yang mana setiap pusat di peringkat daerah diketuai seorang koordinator.

“Orang ramai yang mempunyai keperluan boleh menghubungi CAC melalui nombor telefon yang akan dinyatakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

“Justeru dengan langkah-langkah tersebut, KKM menyeru supaya masyarakat bersama-sama memerangi penularan COVID-19, secara bersepadu,” tegasnya.

Tambah beliau, KKM menerusi pelbagai peringkat dan saluran akan memaklumkan langkah-langkah seterusnya yang mesti dipatuhi dan diamalkan pesakit sepanjang tempoh rawatan di rumah. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas