Top Glove tawar kerja, pastikan kebajikan dan keselamatan pekerja dititikberatkan – Ismail Sabri

Top Glove tawar kerja, pastikan kebajikan dan keselamatan pekerja dititikberatkan – Ismail Sabri

USAHA Top Glove Corporation Bhd menawarkan 9,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dihargai, namun keselamatan dan kebajikan mereka perlu dititikberatkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Syarikat itu perlu memastikan semua bakal pekerjanya menjalani ujian saringan COVID-19, bagi mengelakkan jangkitan baharu dalam kalangan mereka, selain menyediakan kemudahan penginapan bagi mereka yang menghadapi masalah itu.

“Saya harap semua pekerja mengambil ujian swab dan mereka yang tiada rumah sendiri, saya harap mereka ditempatkan di tempat yang kondusif untuk diduduki. Kita tidak mahu ada tambahan kes dalam kalangan pekerja syarikat ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Syarikat itu dalam usaha menangani pengangguran di negara ini hari ini mengumumkan, pengambilan 9,000 pekerja menerusi kempen pengambilan pekerja selama setahun yang dimulakan dengan Pameran Kerjaya Top Glove Secara Maya, esok.

Ia membabitkan masing-masing sebanyak 4,000 jawatan untuk pekerja tempatan; 2,300 jawatan untuk lulusan baharu universiti dan vokasional teknologi; 2,000 pelatih latihan industri dan pelatih; serta 700 pekerja yang berpengalaman. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )