Berita

Kompaun Raya: Polis rekod keterangan pengurus syarikat disyaki sebar berita palsu

Polis menjelaskan, gambar yang tular itu menunjukkan pemeriksaan rumah ke rumah pada Hari Raya pertama di kawasan perumahan Nilai Impian. (Gambar Twitter) Polis menjelaskan, gambar yang tular itu menunjukkan pemeriksaan rumah ke rumah pada Hari Raya pertama di kawasan perumahan Nilai Impian. (Gambar Twitter)
- Diterbit 17 Mei 2021 8:57 AM MYT

POLIS mengambil keterangan seorang pengurus syarikat penerbitan buku, semalam bagi membantu siasatan berhubung penyebaran berita palsu mengenai pelaksanaan kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021 di Nilai Impian, dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata lelaki berumur 42 tahun yang merupakan pemilik akaun Twitter  ‘No War But Class War’ @ Icsmxms itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, pada 9 pagi.

“Gajet dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan fakta isu telah dirampas dan lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fazley berkata kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan,  Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Mohd Fazley menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam memuat naik kenyataan menerusi laman sosial masing-masing.

Pada 13 Mei lepas, pemilik akaun itu memuat naik status ‘Area Rumah Aku Nilai Impian. Tuan Rumah RM25K, Tetamu RM5K’ menerusi laman Twitternya.

Polis kemudian memberi penjelasan bahawa gambar yang tular dalam media sosial itu merupakan gambar pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya pertama di kawasan perumahan Nilai Impian.

Gambar itu telah disalah tafsir sebagai tindakan kompaun sebanyak RM30,000 kepada orang awam sedangkan perkara sebenar berlaku ialah polis melakukan tinjauan bersama pengamal media bagi melihat kadar pematuhan penduduk terhadap SOP Aidilfitri di kawasan berkenaan. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas