Berita

Berita palsu tular 17 Mei – KKMM

- Diterbit 17 Mei 2021 8:41 AM MYT

BERIKUT adalah penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 3 petang ini.

1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan kesahihan mesej tular yang mendakwa bahawa kompaun sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 akan dikenakan kepada individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu berada di luar rumah/premis melebihi had masa ditetapkan tanpa alasan munasabah. KDN menegaskan mesej berkenaan adalah palsu dan orang ramai diminta menghentikan penyebaran maklumat yang tidak sahih untuk mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

2. Pejabat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Selangor menafikan kesahihan mesej yang mendakwa bahawa kerajaan negeri akan mengeluarkan tambahan 500,000 vaksin Sinovac kepada rakyat Selangor serta pendaftaran adalah melalui aplikasi Selangkah seperti yang tular di media sosial. Pejabat itu menegaskan mesej berkenaan adalah palsu dan menjelaskan segala kenyataan atau pengumuman rasmi berkenaan vaksin COVID-19 di negeri Selangor hanya akan dikeluarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari atau Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud. Orang ramai disaran merujuk akaun media sosial rasmi Media Selangor, Selangor Task Force COVID-19, Dr Siti Mariah serta Amirudin untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas