Berita

JCI Labuan, LCDA salur bantuan 200 keluarga sempena Ramadan

JCI Labuan hulurkan bantuan untuk keluarga susah sempena Ramadan.
- Diterbit 25 April 2020 10:00 PM MYT

LABUAN – Seramai 200 keluarga di pulau ini menarik nafas lega apabila hari pertama Ramadan mereka disinari dengan pemberian sumbangan barangan makanan sempena program komuniti Covid-19 Fund Raising : Feed The Hungry

Ia merupakan program anjuran Junior Chamber International (JCI) Labuan dan Labuan Child Development Association (LCDA) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua penganjur program itu, Angel Tolentino berkata, barangan makanan itu disumbangkan oleh pertubuhan  bukan kerajaan (NGO), ahli perniagaan dan individu yang tampil memberikan bantuan selepas program berkenaan dilancarkan dua hari lalu.

“Tujuan program ini diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa ada segelintir daripadanya hidup dalam keadaan sukar, lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP.

“Malah program ini juga banyak menerima respon yang positif dan sokongan tidak berbelah bahagi bagi membantu insan yang berada dalam kesulitan,” katanya.

ANTARA barang makanan yang disalurkan kepada keluarga miskin.

Beliau berkata, program komuniti ini akan berjalan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Angel di talian 011-2472 8910 untuk maklumat lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas