Berita

EU alu-alukan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai bantuan ke Gaza

- Diterbit 23 Disember 2023 12:00 PM MYT

KESATUAN Eropah mengalu-alukan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Jumaat yang meminta lebih banyak bantuan dan akses lebih baik ke Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

“Saya mengalu-alukan resolusi UNSC yang menyeru penghantaran bantuan dengan kadar segera, selamat dan dipertingkatkan kepada penduduk Gaza serta asas untuk menghentikan permusuhan,” menurut hantaran Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen di platform X.

Suruhanjaya itu sedang bekerjasama dengan rakan kongsi di rantau ini dan lain-lain “bagi menangani kecemasan kemanusiaan di Gaza,” katanya.

Ketua dasar luar EU Josep Borrell memuji usaha PBB kerana membawa resolusi itu dan menyeru pihak terbabit supaya menghormati undang-undang dan memastikan pelaksanaannya.

“Penerimaan resolusi #UNSC untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan di #Gaza adalah paling penting bagi orang awam yang terjejas,” menurut hantarannya di platform X.

Borrell berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk memberi jaminan tentang “sokongan teguh” EU terhadap peranan PBB dalam menyalurkan bantuan kepada orang awam di Gaza.

“Saya mengalu-alukan keperluan menghormati IHL (undang-undang kemanusiaan antarabangsa) dan ke arah menghentikan permusuhan,” katanya.

Meskipun resolusi terbabit berdepan kelewatan minggu ini, 13 negara anggota UNSC mengundi menyokong resolusi itu manakala AS dan Rusia berkecuali.

Sejak 7 Okt, tentera Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza dan mengakibatkan 20,057 terbunuh dan 53,320 cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas