Berita

Datuk Razali Idris seorang ‘attention seeker’, perlu bijak bertutur – Fahmi

- Diterbit 13 Februari 2024 9:50 PM MYT

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sebagai ‘attention seeker’.

Fahmi memaklumkan, Razali seharusnya memahami tugas sebagai seorang menteri serta fungsinya.

“Sebagai seorang menteri, semestinya saya buat semakan terdahulu, dan teguran saya terhadap mantan Perdana Menteri itu benar.

“Bekas Perdana Menteri terbabit ada menyebut beberapa perkara yang telah disahkan oleh Mahkamah Perlembagaan, peguam dan pelbagai pihak lain sebagai tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika temu ramah eksklusif Wilayahku bersama Kementerian Komunikasi hari ini.

Fahmi juga turut meminta agar Ketua Penerangan Bersatu terbabit tidak perlu untuk menegakkan benang yang basah.

“Kalau boleh hentikan dari mengeluarkan kata-kata yang tidak bijak,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, Razali menempelak tindakan Fahmi, yang didakwa menuduh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebarkan berita palsu.

Ia susulan Muhyiddin mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Beliau mengulas respons Ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang secara ringkas mengatakan ‘Muhyiddin sebar berita palsu’ menerusi hantaran di platform X. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas