Selebriti

Sumbangan NEELOFA Untuk Agama Dan Masyarakat

Kemasyarakatan dan Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik.
- Diterbit 18 Jun 2020 5:27 PM MYT

USAHA usahawan dan selebriti popular Neelofa mendirikan sebuah pertubuhan kebajikan pertamanya yang diberi nama Pertubuhan Kasih Neelofa sangat membanggakan. 

Malah usaha ini memberi inspirasi kepada ramai pihak di luar sana untuk sama-sama berbakti kepada mereka yang memerlukan di samping meraih saham akhirat. 

Neelofa yang mengusahakan jenama pakaian Naelofar itu melihat usaha ini sebagai platform terbaik untuknya terlibat dengan seluruh masyarakat. 

NEELOFA bantu mereka yang memerlukan melalui Pertubuhan Kasih Neelofa

“Sejujurnya, saya telah lama berhajat untuk membangunkan sebuah badan kebajikan demi membantu golongan yang memerlukan.Tapi, saya tidak mahu ia berjalan tanpa melibatkan saya secara keseluruhan. Saya mahu memberi fokus seratus peratus dan benar-benar mendalami masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

“Sebagai contoh, jika saya terlihat seseorang yang memerlukan bantuan di Twitter, saya akan cuba mendekati individu tersebut dan terus berhubung dengannya. Saya mahukan pendekatan seperti itu,” kata Neelofa menerusi satu kenyataan rasmi. 

Pertubuhan Kasih Neelofa yang bertujuan membantu masyarakat ini merangkumi tiga teras utama iaitu Keagamaan, Kemasyarakatan dan Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik.

“Teras Keagamaan meliputi apa sahaja aktiviti seperti program keilmuan dan program keagamaan. 

“Sementara itu, untuk teras Kemasyarakatan, kami akan cuba mendekati komuniti dengan melaksanakan program-program bersama tenaga kerja Pertubuhan Kasih Neelofa dan para sukarelawan.

Pertubuhan Kasih Neelofa merangkumi tiga teras utama iaitu Keagamaan, Kemasyarakatan dan Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik.

“Bagi teras Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik pula, kami memfokuskan kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti asnaf, ibu tunggal dan anak yatim. Kami akan cuba mendekati golongan ini dengan lebih rapat, mendengar keluhan dan masalah mereka, dan kemudian cuba meringankan beban melalui bentuk sumbangan atau penganjuran aktiviti-aktiviti amal,” katanya yang menerajui pertubuhan ini bersama ibu, ibu saudara dan Ustaz Azam. 

Neelofa turut menubuhkan Syarikat Kasih Neelofa Resource, iaitu sebuah entiti yang berfungsi untuk menjana pendapatan untuk menggerakkan Pertubuhan Kasih Neelofa.

Kepada masyarakat di luar sana, teruskan menyokong pertubuhan amal sebegini semi membantu golongan yang memerlukan. – WILAYAHKU

Foto: Instagram @neelofa

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas