Berita

Sumbangan bakul makanan manfaatkan 556 penduduk Batu

ANTARA barang keperluan disumbangkan kepada 556 penduduk di Perumahan Awam Seri Perak, melalui Program MyFood@Wilayah baru-baru ini ANTARA barang keperluan disumbangkan kepada
- Diterbit 12 Disember 2020 7:17 AM MYT

PROGRAM MyFood@Wilayah yang berlangsung di kawasan Perumahan Awam Seri Perak, telah memberikan manfaat kepada warga penduduk setempat yang serba memerlukan ketika ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 1, Batu, Syed Ferozs Syed Peiaru berkata, program yang dilaksana membolehkan penduduk menerima sumbangan bakul makanan dan akan membantu mengurangkan kos perbelanjaan.

Katanya, agihan kepada penduduk dibuat di blok perumahan masing-masing menerima barangan keperluan dapur hasil inisiatif oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dalam
usahanya membantu warga memerlukan.

“Program bantuan bakul barangan dapur ini telah dilaksanakan oleh KWP dengan membawa tema Wilayah Prihatin.

“Sebanyak 556 bakul makanan diserah kepada penduduk dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Program MyFood@Wilayah berlangsung pada 6 Disember itu dijayakan oleh MPPWP Sub Zon 1, Parlimen Batu dengan kerjasama DBKL dan pihak Yayasan Himmah Malaysia selain dibantu pihak  Jawatankuasa Penaja Persatuan Penduduk Seri Perak (2020), Madrasah Al- Khairiah Seri Perak, Rukun Tetangga (KRT) dan pelbagai NGO lain.

“Selain ringankan sedikit beban penduduk yang terkesan dengan pandemik COVID-19, program ini juga telah menyatukan banyak pihak dalam satu pasukan demi untuk kebajikan dan kesejahteraan penduduk.

“Selain turut memupuk sikap peduli antara satu sama lain dan mengeratkan silaturahim
di dalam kalangan penduduk dengan MPPWP dan dengan pihak yang berkaitan,” kata Syed
Ferozs.

Seramai 70 petugas terlibat dalam program turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya; Pemegang Amanah Yayasan Himmah, Mohd Isa Azmi dan
Roba’yah selain pemimpin setempat termasuk Pengerusi MPPWP Zon Batu, Ghulam Muszaffar dan Pengerusi MPP Sub Zon 1, Samsuddin Yakob.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas