Berita

Penerima sumbangan YWP zahir rasa syukur

WAKIL YWP menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima
- Diterbit 12 Disember 2020 8:04 AM MYT

PENERIMA sumbangan barang keperluan asas daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih.

Bagi mereka, sumbangan yang dihulurkan itu dapat meringankan beban kewangan dan perbelanjaan dapur yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Menurut Ahmad Osman, 53, keadaannya semakin tersepit apabila dia turut diberhentikan kerja selepas melakukan pembedahan di bahagian leher pada Jun lalu.

“Saya dinasihatkan untuk berhenti pada Ogos lepas kerana tidak dapat memberi komitmen selepas memohon untuk cuti kerja tanpa gaji bagi merawat luka pembedahan.

“Walaupun YWP hanya memberi barang keperluan harian seperti beras, namun ia sudah cukup untuk membantu saya menguruskan kehidupan.

“Bagaimanapun, saya berharap supaya dapat diberikan bantuan kewangan berikutan duit simpanan yang digunakan untuk membayar sewa bilik, kos rawatan cuci luka dan pergerakan harian sudah semakin susut,” rayunya ketika dihubungi Wilayahku pada Isnin.

Bagi L Letchmie, 60 pula, dia dan suaminya sangat gembira mendapat bantuan barangan asas kerana dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung anak lelakinya.

Ujarnya, pada masa ini, hanya anak lelakinya sahaja yang bekerja dan menyara keluarga selepas suaminya yang berusia 70 tahun tidak dapat memandu teksi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas