Berita

SUKMA 2022: Skuad kanu WiPers terlepas emas, jurulatih mohon maaf

AKSI skuad Wilayah Persekutuan ketika acara kanu K4 1,000m lelaki yang menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen WiPers, hari ini.
AKSI skuad Wilayah Persekutuan ketika acara kanu K4 1,000m lelaki yang menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen WiPers, hari ini.
- Diterbit 18 September 2022 12:23 PM MYT

PELUANG buat pasukan kanu Wilayah Persekutuan (WiPers) memenangi emas pada hari pertama acara itu diadakan tidak kesampaian apabila ia didominasi oleh pasukan Johor.

Dalam enam acara yang dipertandingkan pada hari ini, Johor mendominasi dengan lima pingat emas dan satu perak manakala Wilayah Persekutuan merangkul tiga perak dan tiga gangsa menerusi acara K1 1,000 meter (m) lelaki dan wanita, K2 1,000 m lelaki dan wanita serta K4 1,000 m lelaki dan wanita.

Mengakui terdapat kesilapan sewaktu pertandingan berlangsung, jurulatih kanu Wilayah Persekutuan, Adam Aris memohon maaf di atas kegagalan pasukannya merangkul emas seperti yang disasarkan.

“Mewakili pihak saya sendiri dan pasukan, saya minta maaf kerana apa yang disasarkan pada hari ini tidak tercapai.

“Kalau nak diikutkan prestasi atlet dari semua negeri adalah sama cuma kesalahan yang dilakukan sewaktu pertandingan akan menentukan pemenang dan itu apa yang terjadi kepada skuad WiPers hari ini,” katanya sewaktu ditemui Wilayahku.

Adam berkata, mengikut tradisional kanu, pasukan yang memperoleh pingat emas pada hari pertama berpeluang untuk mendominasi acara lain seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Namun, semangat juang kita tidak akan terhenti pada hari ini dan akan cuba untuk menebus kekalahan pada acara esok.

“Untuk esok, kita sasarkan emas bagi kategori K1 500m lelaki dan K2 500m lelaki. Ia cabaran besar buat saya memandangkan keputusan hari ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap semangat dan juga mental atlet,” ujarnya yang akan membantu membaiki kesilapan pada perlawanan hari ini.

Terdahulu, acara kanu yang membuka tirainya pada hari ini diadakan di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya dan sebanyak enam acara telah dipertandingkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas