Berita

Sukan Asia 2038: Belum ada perbincangan tawar diri jadi tuan rumah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 7:10 PM MYT

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan (KBS) Adam Adli Abdul Halim berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan di peringkat kementerian berhubung cadangan untuk Malaysia menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038.

Adam Adli berkata tempoh penganjuran itu masih jauh itu dan mungkin perlu disemak dahulu memandangkan Visi Sukan Negara adalah sehingga 2030 sahaja.

“Belum ada perancangan, bukan tidak ada perancangan. Dalam merancang, kita bukan hanya perlu ada niat tapi perlu banyak melihat kepada kos dan impak ekonomi terhadap negara sebagai tuan rumah selain perlu melihat perkembangan atlet di tahap mana. Tidak boleh semberono mengatakan kita mahu jadi tuan rumah.

“Kita beri tumpuan lebih kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan atlet terutamanya di peringkat akar umbi selain harus berhati-hati memandangkan kementerian masih lagi mempunyai peruntukan yang terhad,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KBS di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata KBS mewujudkan Program Khas Fast Track Road To Gold dengan peruntukan sebanyak RM1.15 juta bagi persediaan dan persiapan atlet untuk sukan akuatik-terjun dan skuasy ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Atlet-atlet dalam program ini akan diberi kemudahan secukupnya dari segi keperluan, kebajikan dan pendedahan di kejohanan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adam Adli menegaskan bahawa status perkahwinan tidak sama sekali menjadi faktor menyekat potensi dan menghalang perkembangan prestasi atlet.

“Jika kita masih ingat, ketika saingan Sukan Olimpik 2012 di London, atlet menembak Nur Suryani Mohamed Taibi bersemangat untuk bersaing demi negara walaupun ketika itu beliau sedang hamil. Ini membuktikan status perkahwinan tidak pernah menjadi halangan untuk atlet mencapai kejayaan membanggakan buat Malaysia.

“Berkaitan penglibatan dan pergantungan terhadap atlet senior sukan terjun berumur lebih 30 tahun, ketika ini hanya tiga atlet akuatik-terjun berumur lebih 30 tahun dan disenaraikan di bawah program latihan kendalian Majlis Sukan Negara.

“Mereka ialah Datuk Pandelela Rinong Pamg, Wendy Ng Yan Yee dan Ooi Tze Liang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas