Berita

Prapelancaran model Knaus Tabbert, rangsang pelancongan kenderaan RV di Malaysia

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 26 Mac 2024 8:15 PM MYT

PRAPELANCARAN dua model kenderaan rekreasi (RV) Knaus Tabbert iaitu Knaus SÜDWIND Caravan dan Knaus Boxdrive 600XL, mampu merangsang pelancongan RV di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat berkata pelancaran itu memperlihatkan satu lagi kejayaan dalam pembangunan ekosistem RV di negara ini, terutama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Wilayah ini yang dikurniakan dengan hutan hujan subur, keindahan pantai, pulau serta kaya dengan budaya dan warisan, berpotensi besar untuk perkembangan pelancongan RV dengan Pantai Hiburan di Rompin, Pahang telah dikhususkan sebagai taman RV pertama di ECER,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baidzawi berkata ECERDC menerajui pembangunan industri RV sejak 2021 dan memudahkan beberapa lawatan delegasi Caravaning Industrie Verband e.V. (CIVD) yang mewakili pemain RV Jerman, untuk meneroka peluang pelaburan dan perniagaan selain mengenal pasti lokasi berpotensi membangunkan taman RV di ECER.

Beliau berkata usaha ECERDC menarik pelabur dalam industri RV ke Malaysia, menerusi kerjasama Majlis Pengurusan TAPiO, telah mula membuahkan hasil dengan prapelancaran kenderaan berkenaan.

Majlis prapelancaran itu diadakan ketika Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), di sini baru-baru ini.

Baidzawi berkata majlis itu juga meraikan kerjasama antara Knaus Tabbert AG dan Asia RV Sdn Bhd yang dilantik sebagai rakan kongsi eksklusif Knaus Tabbert AG serta Mayflower Car Rental selaku rakan kongsi strategik di Malaysia.

“Kerjasama ini membolehkan pelancong meneroka keindahan Malaysia dalam keselesaan dan kemewahan, sekali gus menetapkan standard baharu dalam industri pelancongan negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas