Berita

Sidang Parlimen selepas ini dijangka ambil corak, cerminan baharu susulan titah Agong

- Diterbit 26 Februari 2024 9:05 PM MYT

KETEGASAN Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika bertitah dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 hari ini memberi isyarat bahawa persidangan selepas ini bakal mengambil corak dan cerminan yang baharu.

Pengarah Eksekutif Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform) Idzuafi Hadi Kamilan berkata ini mencerminkan visi Seri Paduka Baginda yang ingin melihat bagaimana institusi Parlimen harus dipandu oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau menekankan bahawa walaupun Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah menggariskan tatatertib dan kuasa Yang Dipertua, perubahan (reformasi) terhadap peraturan itu perlu dipertimbangkan dalam masa terdekat dan masa akan datang.

“… ini dapat membantu (mencorak persidangan Parlimen kali ini) kerana saranan ini datang daripada institusi yang utama iaitu Yang di-Pertuan Agong. Maka, sebagai Ahli Parlimen yang bijaksana dan cekap, mereka dapat menangkap apa yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda.

Ini akan menjadi satu titik tolak bagi perubahan terhadap perbahasan yang lebih efektif dan berfokus kepada polisi dan dasar awam melibatkan kesejahteraan rakyat berbanding bermain politik yang boleh menimbulkan suasana kurang baik dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam temu bual yang disiarkan dalam rancangan ‘Malaysia Petang Ini’ di Bernama TV hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan, nasihat serta pandangan dalam pelbagai topik antaranya tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat semasa persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi, hutang negara serta kestabilan politik.

Seri Paduka Baginda turut memberikan “lampu hijau” kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara yang melampaui batas ketika bersidang, termasuk mengenakan penggantungan selama 14 hari kepada Ahli Parlimen yang terlibat jika mereka masih berdegil. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas