Berita

Shamine Azureen impi ke Olimpik

NUR Shamine Azureen (kiri) dalam satu kejohanan hoki baru-baru ini.
- Diterbit 17 Februari 2022 10:02 AM MYT

MEMASANG impian untuk beraksi di pentas Olimpik suatu hari nanti, pemain muda hoki Wilayah Persekutuan, Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha, 17, menjadikan pemain hoki Australia, Jamie Dwyer sebagai idolanya.

Baginya, untuk sampai ke tahap itu, dia perlu bekerja keras di samping memberi komitmen yang sangat tinggi sama seperti yang dilakukan idolanya itu.

“Selain Jamie Dwyer, saya turut terinspirasi dengan jurulatih saya sendiri iaitu Kannagi Arumugam. Seperti yang semua sedia maklum, beliau merupakan bekas pemain skuad wanita negara.

“Kannagi pernah beraksi bersama pasukan negara ketika memenangi emas dalam Sukan SEA 2007 di Thailand dan juga beberapa temasya besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Mungkin saya akan mengambil masa bertahun-tahun berusaha untuk melayakkan diri ke Olimpik, namun ia amat berbaloi memandangkan ini adalah jalan yang saya pilih dan banggakan,” katanya kepada Wilayahku.

Dia yang mula aktif dalam sukan hoki sejak berumur 10 tahun mengakui disiplin yang ketat perlu untuk memastikan dirinya berjaya kelak.

“Sesi latihan hoki sebanyak enam hari seminggu. Tiada kompromi. Melakukan senaman fizikal adalah wajib dan saya tidak kisah berkorban masa dan tenaga ke arah itu.

“Selain itu, ketahanan mental juga memainkan peranan yang penting. Saya perlu bersedia memberi 100 peratus fokus sebelum beraksi untuk mengelakkan sebarang kecederaan,” tambah anak keempat daripada enam orang adik-beradik ini.

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan, pelajar jurusan Sains Sukan ini pandai membahagikan masa di antara pelajaran dan sukan.

“Biasanya latihan akan bermula sebelah petang, jadi saya akan menggunakan waktu di sebelah malam untuk mengulang kaji pelajaran dan mengikuti kelas tambahan secara atas talian.

“Perlu pandai curi masa untuk belajar kerana saya ingin kedua-duanya berjalan seiringan. Kalau boleh, satu hari nanti saya mahu orang mengenali saya sebagai atlet yang bijak,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas