Berita

106 pasukan rebut Piala Wilayah Persekutuan sempena SHWP 2022

- Diterbit 17 Februari 2022 9:20 AM MYT

LEBIH 800 peserta menyertai Kejohanan Futsal Piala Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Kompleks Futsal Mokhtar Dahari, Presint 18, Putrajaya baru-baru ini bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022.

Sebanyak 90 pasukan bagi kategori lelaki berentap untuk merebut hadiah kejuaraan bernilai RM3,000 berserta piala dan pingat dalam kejohonan sementara sebanyak 16 pasukan wanita merebut hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 bersama piala dan pingat.

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejohanan tersebut dapat menghidupkan kembali semangat kesukanan dalam kalangan anak muda di Wilayah Persekutuan.

“Satu lagi pertandingan di Labuan yang dijadualkan pada 19 Februari lalu terpaksa ditangguhkan serta-merta susulan peningkatan kes COVID-19 yang melanda seluruh negara bagi mengelakkan penularan.

“Juara pasukan lelaki dan juara pasukan kategori wanita di Kejohanan Futsal Piala Wilayah Persekutuan akan dibawa ke Labuan bagi menyertai pusingan Grand Final untuk menentang juara pasukan yang menang di Labuan yang dijadualkan pada 26 Februari akan datang.

“Namun kejohanan itu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang masih belum diumumkan,” tulis kenyataan tersebut.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut hadir pada Majlis Perasmian Kejohanan Futsal Piala Wilayah Persekutuan bagi melakukan ‘kick off’ pertandingan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas