Berita

Shahidan tidak lepas tangan isu peniaga warga asing -Persatuan Penjaja

|
- Diterbit 24 April 2022 12:46 PM MYT

PRESIDEN Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (PPPKMM), Datuk Mohamad Abdullah tampil membidas laporan berita sebuah stesen televisyen yang menuduh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim membiarkan warga asing menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kawalan.

Jelasnya, laporan itu turut membandingkan prestasi bekas menteri di kementerian itu, Tan Sri TPr Annuar Musa yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia dan sebelum ini dilihat banyak mencetuskan idea untuk membantu warga tempatan berniaga melalui inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB).

“Kita melihat bahawa zaman Annuar dan Shahidan ini, kedua-dua mereka memainkan peranan penting untuk golongan peniaga kecil dalam memberikan pertolongan dan bantuan untuk merancakkan kembali ekonomi yang terjejas sebelum ini.

“Apabila Shahidan dilantik, beliau meneruskan apa yang telah dirancang Annuar bahkan operasi bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur, beliau akan turun dan membantu peniaga,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pasar Harian Selayang di sini hari ini.

Menurut Mohamad, isu yang difokuskan adalah terhadap aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing tanpa kawalan pihak berkuasa termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Isu ini dah lama, hampir 20 tahun yang lepas, kita lihat isu ini, sebagai contoh di Chow Kit, DBKL telah buat tindakan drastik iaitu sifar warga asing dan mengambil tindakan termasuklah sitaan dan sebagainya.

“Malah kami dimaklumkan, sepanjang tahun 2021 DBKL telah menyita lebih 7,000 peniaga dan pada tahun ini kami difahamkan tindakan sama turut dilakukan,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya berpendapat tiada isu yang boleh mengaitkan dakwaan tersebut terhadap Shahidan kerana tindakan membanteras peniaga warga asing ini sentiasa dilakukan.

“Jika kita hendak cari kesalahan, memang akan jumpalah satu dua kesalahan. Tetapi kita kena lihat dari aspek keseluruhan bahawa mereka melaksanakan tugas untuk rakyat dan membantu peniaga kecil dan penjaja seperti kami tanpa melihat kepada kaum dan agama khususnya di Kuala Lumpur,” katanya.

Menjelas lanjut, Mohamad berkata, apa yang telah dilakukan oleh Shahidan adalah lanjutan daripada program-program keusahawanan yang telah dicetuskan oleh Annuar semasa menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

“Aspirasi menteri sekarang ini adalah hendak mewujudkan 1,000 usahawan muda di Kuala Lumpur.

“Beliau juga mengambil tindakan pro aktif dengan membenarkan peniaga dan penjaja menjalankan aktiviti perniagaan di Dataran Merdeka sepanjang bulan Ramadan malah tiada seorang pun peniaga warga asing yang berniaga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad tidak menafikan sememangnya wujud peniaga warga asing menjalankan perniagaan di sekitar Pasar Harian Selayang namun disebabkan pelaksanaan undang-undang yang ketat dalam kalangan penguat kuasa menyebabkan isu itu dapat diselesaikan.

“Ada peniaga asing tapi kalau ada pun kita tiada kuasa jadi kita minta DBKL buat penguatkuasaan.

“Itu kerja polis, DBKL, Imigresen dan kerja kita memastikan bahawa kalau tapak perniagaan ini ada peniaga asing baru pihak persatuan perjuangkan,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas