Berita

DBKL sita hampir 7,000 perniagaan warga asing dari Januari hingga April 2022

PENGUATKUASA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan termasuk menyita barangan perniagaan di kawasan tumpuan warga asing menjalankan perniagaan.
- Diterbit 24 April 2022 2:50 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melakukan sitaan sebanyak 6,932 barangan penjaja milik warga asing dari tempoh Januari hingga April tahun ini.

Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, sepanjang tahun 2021, sebanyak 7,970 tindakan sita terhadap barangan
penjaja warga asing telah dilaksanakan.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 bagi mengekang kegiatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Penguatkuasaan DBKL sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur termasuk di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) secara berterusan.

“Pemantauan menerusi kamera litar tertutup (cctv) juga dilaksanakan 24 jam di PBKL dan kawasan sekitarnya bagi membendung aktiviti penjajaan oleh warga asing.

“Bagi penjaja warga asing, tindakan sita
serta merta diambil dan barangan yang disita tidak boleh dituntut serta akan
dilupuskan,” katanya.

Menjelas lanjut, kenyataan itu berkata, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), DBKL hanya boleh mengambil tindakan terhadap barangan penjaja warga asing yang didapati menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.

“Tindakan terhadap warga asing termasuk mengawal kemasukan, pergerakan dan menahan warga asing yang menyalahi peraturan adalah di bawah bidang tugas dan tanggungjawab Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Walau bagaimanapun, DBKL sentiasa berkerjasama dengan agensi sahabat
yang lain termasuk JIM bagi memastikan penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan di sekitar Kuala Lumpur dapat dibanteras,” katanya.

Dalam pada itu, orang awam dinasihatkan untuk memberikan kerjasama dengan tidak membeli barang keperluan daripada warga asing ini kerana aktiviti mereka tidak mempunyai kebenaran.

“Warga kota turut diminta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perniagaan
oleh warga asing kepada DBKL menerusi Sistem Pengaduan Awam Kuala Lumpur (ADU@KL) di pautan pantas https://adukl.dbkl.gov.my,” katanya.

Terdahulu, tular laporan berita sebuah stesen televisyen mendakwa peniaga warga asing memonopoli aktiviti perniagaan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan menuduh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim serta pihak berkuasa tidak mengambil tindakan bagi membendung kegiatan tersebut. —WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas