Berita

Sejarah ‘turun naik’ dalam pilihan raya, siapa pilihan di DUN Klias?

- Diterbit 23 September 2020 4:27 AM MYT

KLIAS, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen Beaufort yang mempunyai 16,905 pengundi, meskipun kelihatan tenang dan mendamaikan, mempunyai sejarah ‘turun naik’ politik yang menarik.

Apa tidaknya, sejak tiga penggal lalu, kejayaan pemimpin mendominasi keputusan pilihan raya DUN Klias, yang terletak kira-kira 100 kilometer atau dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu, walaupun berkhidmat dengan cemerlang pun, belum mampu menjaminnya untuk terus menjadi nakhkoda kapal pada penggal seterusnya.

Buktinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, DUN Klias dikuasai Barisan Nasional (BN) menerusi Datuk Azizah Mohd Dun, satu-satunya calon wanita pada saingan lima penjuru ketika itu mendominasi dengan majoriti 2,413 undi, jauh meninggalkan pencabar terdekat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Rahman Md Yakub serta tiga calon Bebas.

Bersandarkan rekod prestasi yang dianggap memberangsangkan, BN pada PRU-13 tampil tanpa Azizah, sebaliknya seorang lagi anak tempatan, Datuk Isnin Aliasnih dipertaruhkan dengan hasrat menyambung legasi parti di DUN itu.

Sebaliknya percaturan itu gagal, undi majoriti Azizah dahulu hilang begitu sahaja sekali gus berputih mata terpaksa merelakan baton bertukar tangan kepada musuh daripada PKR, Datuk Lajim Ukin yang menang dengan majoriti tipis 179 undi.

Pada masa sama, Lajim gagal mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort, tewas kepada Azizah dengan majoriti kecil 672 undi biarpun pada PRU-12, pertarungan popular satu lawan satu antara dua calon berkongsi nama sama ‘Lajim vs Lajim’ ketika itu, beliau menang dengan majoriti lebih 10 ribu meninggalkan cabaran Lajim Md Yusof (PKR).

Ironinya, Lajim bukanlah nama asing bagi BN, beliau merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Beaufort yang bertindak melompat ke bahtera PKR beberapa ketika sebelum pilihan raya sehingga menyebabkan jentera BN sudahpun tempang sebelum ke medan perang PRU-13.

Di kala seluruh negara dilanda tsunami politik dengan tumbangnya BN di kebanyakan negeri pada PRU-14, lain cerita di Klias apabila Isnin berjaya menebus kekalahan kepada Lajim, malah cemerlang mengembalikan majoriti lebih 2,000 undi kepada parti biarpun turut berhadapan tentangan sengit calon Parti Warisan Sabah, Johair Mat Lani.

Sabah kini dipaksa berhadapan satu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas kerajaan Warisan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara rasmi dibubar 30 Julai lepas.

PRN ke-16 bagi Negeri di Bawah Bayu ini pastinya menjanjikan satu lagi pertembungan klasik di DUN Klias dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui Bersatu kelihatan akan bermati-matian mempertahankan kerusi itu.

Lebih menarik, pergerakan jentera calon yang juga penyandang DUN Klias, Isnin yang kini bersama Bersatu di dalam Perikatan Nasional dibantu oleh Lajim Ukin, individu yang dahulu menewaskannya pada PRU-13 atas tiket PKR. Lajim kini juga bersama Bersatu.

Selain Isnin, pertarungan enam penjuru di Klias menyaksikan PKR kembali mempertaruhkan Abdul Rahman Md Yakub yang pernah mencuba nasib pada PRU-12 selain Maksit Saidi (Gagasan), Abdullah Okin (PCS), Amsir Dani (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan calon Bebas, Jismit Japong.

Begitulah turun naiknya politik DUN Klias bagaikan ‘roller coaster’ yang mana isu nasional dilihat tidak begitu memainkan peranan sebaliknya ‘sentuhan’ calon ketika cuba memenangi hati pengundi serta tawaran yang dijanjikan untuk membangunkan pekan ini mampu menjadi ejen penentu terutama kepada pengundi atas pagar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas