Berita

Usia senja bukan penghalang hasilkan ukiran kayu

- Diterbit 23 September 2020 4:20 AM MYT

BIARPUN telah melewati usia senja, Zainol Abidin Omar masih setia menghasilkan kraf ukiran bagi beberapa model ikonik Pulau Pinang seperti feri, jambatan Pulau Pinang dan kereta api Bukit Bendera.

Uniknya, kraf tangan ukiran sentuhannya dibuat menggunakan papan lapis dan kayu jelutong itu, mengambil masa kira-kira dua hingga lima hari untuk disiapkan, bermula dengan proses memotong kayu, mengukir dan seterusnya mengecat.

Pemilik susuk tubuh berusia 75 tahun itu berkata minat untuk menceburkan diri dalam menghasilkan kraf tangan itu lahir pada 1986 selepas menimba ilmu dengan beberapa rakan dari Indonesia yang terlibat dalam bidang pertukangan.

“Saya mula membuat ukiran feri, jambatan Pulau Pinang, kereta api Bukit Bendera pada tahun 1986 dan belajar melalui mereka (rakan dari Indonesia) yang bertukang di sini. Sebelum itu, saya bekerja sebagai pelukis dan minat untuk mendalami seni ukiran itu tinggi,” kata Zainol Abidin kepada Bernama dalam temu bual di kediamannya di Kampung Sama Gagah baru-baru ini. Beliau turut dibantu oleh isterinya Rogayah Mahmood, 66.

Bapa kepada tiga anak itu berkata pada 1986 harga bagi ukiran feri itu dijual RM15, tetapi kini harganya mencecah RM250 manakala bagi ukiran jambatan Pulau Pinang dan kereta api Bukit Bendera, masing-masing berharga RM480 dan RM300.

Di samping mengukir tiga ikon Pulau Pinang, Zainol Abidin turut menghasilkan ukiran rumah tradisional dan dijual dengan harga RM350 setiap satu dan sehingga kini lebih 4,000 ukiran kayu telah dihasilkannya.

Zainol Abidin berkata hasil ukirannya itu banyak mendapat permintaan dan tempahan daripada syarikat swasta, agensi kerajaan, kilang dan juga orang perseorangan, malahan ia dijadikan cenderahati untuk diberikan kepada kenalan di dalam dan luar negara termasuk China, Arab Saudi, Turki dan Brunei.

“Macam sekarang, saya sedang menyiapkan 15 ukiran feri yang ditempah Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan kebanyakan tempahan yang diterima adalah untuk dijadikan cenderahati,” katanya, sambil menambah bahawa reka bentuk feri era tahun 1980-an menjadi pilihan untuk ukiran beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati golongan muda untuk mengambil kesempatan mempelajari seni ukiran daripada generasi lama.

“Dalamilah ilmu, ambil masa yang ada dan belajarlah dengan generasi dahulu yang masih ada kerana ia dapat diwarisi oleh pelapis akan datang. Sekurangnya-kurangnya kita ada sesuatu untuk dikenang dan disanjung hasil sentuhan warisan nenek moyang kita,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas