Selebriti

Saya tak mengada-adakan cerita… Ini soal nyawa – Lufya

- Diterbit 29 Jun 2022 8:39 AM MYT

PENYANYI Lufya Omar menafikan dakwaan kononnya mereka cerita dirinya yang cedera kerana mahu menyelamatkan anaknya daripada diculik

Dalam masa yang sama, Lufya akui masih trauma selepas berdepan detik cemas dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan menculik anaknya, di sebuah taman permainan di Kota Damansara.

Lufya bagaimanapun mendedahkan sudah membuat laporan polis pagi tadi. Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kota Damansara sekitar kira-kira jam 6 pagi.

Pada insiden jam 4 petang 26 Jun lalu, Lufya mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya.

“Tak ada istilah saya cuba membuat drama atau mengada-adakan cerita kerana melengahkan urusan membuat laporan polis. Ini soal nyawa yang bukan boleh diperjudikan.

“Jujur saya dan anak masih dalam keadaan trauma. Malah pada masa sama, saya juga dalam rawatan di hospital. Jadi saya ambil masa bertenang untuk bawa hal ini kepada pihak polis.

“Selepas rawatan di hospital pagi tadi, saya dan anak ke balai polis. Kebetulan waktu itu tiada ramai orang, jadi kurang sedikit rasa trauma itu. Setakat ini saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Malah Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar turut menafikan lelaki yang memukulnya itu ada bekas suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

“Lelaki itu orang asing yang saya sendiri tak kenal. Dan bukan bekas suami saya seperti yang ditebak netizen.

“Ada yang anggap keterangan gambar saya mendedahkan insiden ini di Instagram (IG) bertulis lelaki dayus merujuk kepadanya itu tidak benar sama sekali.

“Bagi saya mana-mana lelaki yang memukul wanita adalah seorang dayus. Kita belum tahu siapa pelakunya. Cuma jangan babitkan dia (Hafiz), biar polis buat kerja mereka,” katanya.

Lufya turut mendedahkan niatnya berkongsi insiden itu di IG sebagai langkah berhati-hati kepada golongan wanita terutama yang bergelar ibu dan mempunyai anak.

Pengusaha Luvyacakes itu turut berkata sebagai manusia, dia harus sentiasa peka dan berjaga-jaga dalam apa juga situasi.

“Selalunya golongan wanita dianggap lemah, jadi ada ilmu mempertahankan diri.

“Dengan izin Tuhan, saya dapat melawan, sekali gus, menyelamatkan anak.

“Manusia zaman sekarang sanggup buat perkara keji dan semakin hilang perikemanusiaan,” katanya memohon doa diberi kesembuhan dan keselamatan.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, bekas suami Lufya, Hafiz menafikan dia terbabit dengan insiden itu dan mendakwa tuduhan netizen itu adalah fitnah.

Katanya, dia masih berfikiran waras dan tidak sanggup menggunakan kekerasan semata-mata mahu berjumpa anak.

“Tuduhan netizen itu adalah fitnah. Sebagai bapa saya tak sanggup buat macam tu. Kalau nak jumpa anak, saya akan minta izin. Kalau tak dapat jumpa, saya runding baik-baik.

“Kalau nak jumpa saya akan cakap baik-baik dan bukan mengamuk. Kalau dia tak bagi, saya cuba dan minta lagi. Bukan dengan kekerasan. Saya akan cuba faham jika tak dapat jumpa. Saya tetap sabar dan tak putus asa.

“Kalau nak jumpa kenapa perlu serang. Saya bukan jenis berdendam. Perkara lepas biarlah berlalu. Saya sudah lama ‘move on’ dan sudah ada kehidupan baru. Takkan nak upah samseng,” kata Hafiz. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas