Berita

“Saya akan bekerja sehingga ke garisan penamat,” – Annuar

ANNUAR (kiri) semasa program imuniti kelompok Wilayah persekutuan Kuala Lumpur yang diadakan di RumahPrihatin@GrandSeasons hari ini.
- Diterbit 15 Ogos 2021 9:42 AM MYT

SAYA akan terus bekerja sehingga ke garisan penamat,” tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa di sebalik ura-ura Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang dijangka akan melepaskan jawatan tersebut Isnin ini.

Bekas Setiausaha Agong UMNO itu walaubagaimanapun mengakui yang beliau tidak dapat memastikan kesahihan perkara tersebut dan hanya mendengar spekulasi tersebut melalui maya dan yakin bahawa Muhyiddin amat menghormati kedaulatan undang-undang dan akan bertindak berasaskan perkara yang termaktub dalam perlembagaan.

“Saya fikir elok tunggu saat dan masanya kerana pada saya itu prerogatif PM dengan mengambil kira segala perkembangan dan keadaan semasa dalam negara.

” Saya tidak boleh menyatakan ya atau tidak, saya juga dengar kepada semua spekulasi, dan itu hanya boleh disahkan apabila sampai masanya,” katanya kepada media pada program imuniti kelompok Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di RumahPrihatin@GrandSeosons pada Ahad.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara; Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Pengurusan dan Sosio Ekonomi, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman;
TKSU Perancangan dan Pembangunan KWP, Datuk Che Roslan Che Daud; Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr Param Singh Pakar Singh; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun.

Mengulas lanjut, Annuar menegaskan bahawa beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan hanya fokus untuk membantu rakyat yang terhimpit ketika COVID-19.

“Saya telah diamanahkan oleh UMNO untuk bersama kerajaan sehingga Parlimen di bubarkan, tapi kalau kerajaan yang terlebih dahulu bubar, saya pun sama juga.

“Saya akan bekerja sampai ke saat-saat terakhir. Saya tak berminat politiking, lebih baik saya tumpu kepada kerja-kerja yang memberikan faedah kepada rakyat.

” Kita tak pernah lihat rakyat susah dalam tempoh yang panjang disebabkan ancaman pandemik hingga menjejaskan ekonomi serta hilang pekerjaan dan lain. Jika isu pentadbiran tidak diselesaikan maka yang menanggung kesannya adalah rakyat,” katanya.

Annuar turut menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa ciapan di Twitternya telah memberi bayangan bahawa beliau sedang melalui hari terakhirnya sebagai menteri.

” Ada nampak saya seperti hari terakhir ke? Itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Bagi saya tiada istilah itu dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Kalau ikutkan hari minggu patutnya boleh rehat tetapi kita kerja macam biasa, spekulasi PM letak jawatan esok pun belum pasti, jadi baiklah kita bekerja seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, spekulasi Muhyiddin bakal meletakkan jawatan mula diperkatakan selepas beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas