Berita

Semai nilai setia

|SHAMRAHAYU
- Diterbit 15 Ogos 2021 6:00 AM MYT

KURANG penerapan konsep Rukun Negara, terutamanya prinsip kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara di peringkat sekolah dilihat antara faktor menyebabkan penghayatan dalam kalangan generasi muda tidak membugar.

Generasi muda terutamanya generasi Y (Gen Y) yang sering dilaung-laungkan sebagai pewaris kepimpinan negara masih jauh ketinggalan, antaranya memahami serta menghayati sejarah pembangunan negara, perlembagaan persekutuan serta institusi beraja.

Buktinya, media sosial dijadikan alat beremosi golongan Gen Y dalam menyuarakan pandangan mereka terhadap institusi beraja tanpa batasan, lebih-lebih lagi tatkala masyarakat ketika ini diuji dengan pandemik COVID-19.

Akibat kelantangan suara mereka, kita dikejutkan dengan pelbagai kes menghina institusi beraja menerusi hantaran jelik di media sosial yang ada antaranya didakwa di mahkamah.

Lebih menyedihkan, mural gergasi yang memaparkan pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor, diconteng oleh dua wanita muda pada 20 Julai 2020.

BERI KEFAHAMAN KEPADA GEN Y

Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata selain pentingnya sistem pendidikan, para pemimpin serta ‘senior’ (mereka yang lebih berpengalaman serta disegani) perlu berperanan menyampaikan konsep Raja Berperlembagaan dengan pendekatan sesuai kepada  golongan muda.

SHAMRAHAYU

“Dalam konteks dahulu dan sekarang, raja itu adalah pancuran keadilan. Konsep itu adalah penting. Oleh itu kita sebagai ‘senior’ haruslah menggunakan pendekatan yang lebih remaja, contoh, pakai hashtag #Pancuran Keadilan dalam menyampaikan ilmu tentang institusi beraja kepada mereka.

Dalam soal ini, beliau menjelaskan, pihaknya memberi penekanan kepada generasi berumur dalam lingkungan 20an kerana dalam tempoh 36 tahun lagi kita akan mencapai 100 tahun Malaysia bebas daripada naungan kuasa. Generasi inilah yang akan menjadi pemimpin masyarakat pada masa itu.

“Inilah tanggungjawab kita dalam menghadapi cabaran oleh institusi beraja untuk memberi pemahaman ‘pancuran keadilan’ kepada generasi muda selain mengukuhkan perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat,” katanya ketika mengambil bahagian di Wacana Patriotisme ‘Pemahaman Terhadap Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ anjuran Majlis Datuk Persekutuan Malaysia, di ZOOM baru-baru ini.

SEMUA DI BAWAH NAUNGAN YDPA

Berkongsi tentang golongan bukan melayu yang kurang memahami tentang institusi beraja seperti yang pernah dibangkitkan oleh seorang mahasiswa dari Sarawak, Shamrahayu berkata ilmu yang disampaikan oleh tenaga pengajar kepada mereka di institusi pendidikan masih belum mencukupi.

“Mereka gagal menyampaikan konsep bahawa Ke Bawah Duli-duli Tuanku adalah sebenarnya puncak pancuran keadilan kepada semua warganegara yang terdiri daripada tiga kelompok masyarakat, sama ada bumiputera ataupun komuniti etnik lain.

“Bila kita lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah bertanggungjawab ke atas ketiga-tiga kelompok masyarakat, kerana kita semua adalah di bawah naungan YDPA pada peringkat persekutuan dan raja-raja di negeri.

“Walaupun seseorang raja hendaklah terdiri daripada kaum Melayu, namun Raja-raja bukan hanya kepada orang Melayu sahaja tetapi Raja-raja adalah milik kita semua iaitu warganegara Malaysia,” katanya.

Menurut beliau lagi, hal ini merupakan satu dimensi patrotisme iaitu bagaimana untuk membawa generasi muda dan golongan bukan Melayu, termasuk Bumiputera mendokong kesetiaan kepada institusi beraja.

“Pengalaman sejarah dan budaya memberikan banyak pengajaran kepada institusi beraja yang sedang bersemayam. Sebahagian besar budaya berasaskan agama dan amalan terdahulu kian menipis kerana penghayatan rakyat ketika ini telah berubah oleh kerana berubahnya suasana dan cara pemikiran.

“Maka masyarakat Malaysia perlu memahami sejarah dan budaya kesetiaan kepada Raja dan Negara agar falsafah negara sebagaimana ada sentiasa menjadi aspirasi dan rukun kita,” katanya.

SEMANGAT PATRIOTISME BERMULA DARI RUMAH

Semangat patriotisme bukan sesuatu yang dapat diajar oleh tenaga pendidik di sekolah, namun golongan pelajar perlu memastikan mereka faham konsep Patriotisme yang bukan hanya setakat menghafal lima prinsip Rukun Negara sahaja.

Dalam hal ini, Shamrahayu berpendapat, meskipun sistem pendidikan itu penting tetapi yang utamanya kefahaman konsep Patriotisme itu haruslah bermula dari rumah dan dalam hal ini, kesedaran keibubapaan terhadap patriotisme penting supaya mereka dapat menyampaikan ilmu berkenaan kepada anak-anak.

“Guru pertama kita adalah ibu bapa, pendidikan hanyalah supporting system. Jika ibu bapa tidak mampu jaga anak-anak mereka, apatah lagi pada peringkat masyarakat, selepas itu kepada sistem negara?

“Selain itu, penghayatan dalam kalangan para guru dan ahli ilmuan adalah penting menerusi peningkatan cara penyampaian PdP (pengajaran dan pembelajaran) supaya dapat meningkatkan pemahaman pelajar-pelajar mereka,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Datuk Prof Dr Baharudin Puteh, berkata dalam prinsip Rukun Negara, semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan sudah semakin luntur apabila segelintir masyarakat lantang mengkritik institusi beraja dan sistem demokrasi berparlimen di media sosial.

“Sebagai contoh, bulan Ogos sebagai bulan kemerdekaan, nak kibarkan Jalur Gemilang itu mahu pinjam dari orang, apa salahnya sanggup berkorban beberapa sen sahaja untuk membeli bendera dan mengibarkannya di kediaman masing-masing?

“Dalam Keluhuran Perlembagaan, ikut undang-undang sedia ada, yang dibuat hasil daripada sistem demokrasi berparlimen. YPDA merupakan ketua negara, namun mereka yang tidak memahami sejarah dan perlembagaan lantang mengkritik, itu tidak boleh.

“Sebab itulah, kempen Rukun Negara haruslah di’blast’ (kongsi) secara besar-besaran di media sosial agar mereka yang bersuara mengikut emosi ini akan dapat dikurangkan seterusnya menyemai rasa patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” tegasnya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas