Berita

Sasar tambahan 400 kereta sewa mewah, R Global perluas perkhidmatan 

YM Tengku Datuk Hishamuddin (dua dari kiri) dalam sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim Baitul Uffah.
- Diterbit 16 April 2022 8:47 AM MYT

PENYEDIA perkhidmatan sewaan kereta mewah, R Global Luxury Car Rental mensasarkan penambahan lagi 400 kereta secara berperingkat mulai tahun ini.

Pengerusinya, Tengku Datuk Hishamuddin Zaizi berkata, langkah yang diambil selaras komitmen syarikat untuk mengembangkan perniagaan yang diurus dan menjadi antara penyedia perkhidmatan sewaan kenderaan mewah yang digemari ramai.

Beliau menjelaskan, pertambahan pelbagai model kereta itu bakal dilaksanakan secara berperingkat bermula Jun 2022 seterusnya akan memenuhi permintaan pelanggannya.

“Kami bercadang menambah jumlah kereta mewah kerana permintaannya tinggi ketika ini dan memenuhi selera kereta impian dan idaman pelanggan kami daripada pelbagai latar berbeza.

“Selain menambah kualiti serta produktiviti perkhidmatan, kami akan turut tukarkan R Global menjadi Car Dream Sdn Bhd, namun entiti bisnesnya masih juga sama,” katanya kepada media ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Baitul Uffah.

KENAMAAN beramah mesra dengan anak-anak yatim bagi meraikan mereka kurang bernasib.

Majlis dianjurkan bagi meraikan anak yatim dari Baitul Uffah yang kurang bernasib baik selain mengimarah Ramadan mulia dengan merapatkan ukhwah serta bersedekah.

Turut hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif R Global, Jay Chin selain Pengarah syarikat, Mohamad Khafey Ikhwan serta kakitangan syarikat dan jemputan khas.

Mengulas lanjut, kata Jay Chin pertukaran nama sebagai pendekatan untuk memberi gambaran sebenar kepada para pelanggan mengenai perniagaan serta perkhidmatan sewaan kereta mewah yang disediakan.

ANTARA model kereta mewah yang disediakan untuk sewaan oleh R Global Luxury Car Rental.

Jelasnya, antara model kereta mewah yang seringkali mendapat permintaan antaranya seperti Mercedes, Nissan GTR, Lamboghini, BMW, Ferrari, Porsche dan sebagainya. -WILAYAHAKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas