Berita

Jangan beli dari peniaga warga asing

YANG Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah.
- Diterbit 15 April 2022 6:30 AM MYT

YANG Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah menyeru masyarakat lebih berwaspada dan tidak menyokong mana-mana perniagaan yang diusahakan oleh peniaga warga asing di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, penglibatan warga asing dalam kegiatan keusahawanan di ibu kota semakin berleluasa sehingga menyebabkan golongan ini menjadi agresif dan membuat lokasi tapak niaganya seperti di pasar borong dan kedai runcit seakan miliknya sendiri.

“Isu ini sudah lama dibangkitkan dan tindakan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi-agensi dan pihak berkuasa telah pun diambil. Walau bagaimanapun, isu ini tiada tanda noktah apabila peniaga atau pengusaha tempatan turut memberi ruang niaga dengan menyewakan kepada mereka.

“Persatuan tidak menggalakkan mana-mana peniaga menyewakan premis atau tapak kepada pendatang asing, kalau persatuan mendapat maklumat berhubung perkara tersebut, kami akan menyokong pihak DBKL membatalkan lesen mereka,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Selain itu, beliau berkata, sikap sesetengah masyarakat yang sering memberi galakan atau ‘support’ perniagaan warga asing ini menyebabkan mereka masih meneruskan kegiatan tersebut.

“Saya merayu kepada semua untuk kurangkan aktiviti jual beli bersama mereka. Daripada kita menyokong dan membantu perniagaan mereka adalah lebih baik sekiranya rakyat membantu peniaga-peniaga kecil atau suri rumah yang menjalankan perniagaan secara online atau langsung dengan membeli produk jualannya sekali gus membantu menambah pendapatan kehidupan mereka,” jelasnya.

Beliau terdahulu mengulas isu tular pasangan suami isteri warga asing
ditahan selepas penguat kuasa DBKL bertindak menyita barangan mereka ketika serbuan operasi penjaja haram di ibu kota baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas