Berita

Sarjan tak mengaku terima suapan RM 2,000

KUALA LUMPUR 12 AUGUST 2015. (GAMBAR FAIL) Pengurup wang berlesen mengira mata wang ringgit disebabkana nilai mata wang Malaysia jatuh kepada RM 4.02 berbanding sedolar Amerika Syarikat setakat hari ini. NSTP/ Zulfadhli Zulkifli.
- Diterbit 10 Mac 2021 4:59 AM MYT

SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000, tahun lepas.

Pengakuan Mohd Ridhuan Kasah, 43, yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan kira-kira 48 kilometer dari sini, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu pada 18 dan 19 Sept 2020 di bilik pegawai penyiasat IPD Pekan dan di sebuah restoran, dengan setiap transaksi melibatkan RM1,000, daripada seorang suspek lelaki sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam Muhammad Saifuldin Ab Rahman merayu jaminan RM10,000 yang ditawarkan Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman dikurangkan atas alasan tertuduh dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 menanggung keluarga termasuk empat anak yang bersekolah.

“Tertuduh telah berkhidmat selama 22 tahun dan difahamkan ini merupakan kali pertama dituduh atas kesalahan rasuah. Tertuduh yang akan dijamin oleh isterinya berjanji untuk hadir setiap kali perbicaraan berjalan,” katanya.

Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan dan menetapkan 31 Mac ini sebagai sebutan semula kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas