Berita

RUU Perlembagaan Pindaan, keselamatan siber dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Mac 2024 4:55 PM MYT

RANG Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024, yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan itu supaya ia selaras dengan umur mengundi di Malaysia dan takrif kanak-kanak yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), serta umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 211).

Perkara itu melibatkan pindaan pada Fasal (2) Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada beberapa peruntukan lain dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kedua dan ketiga RUU itu, dijadual dibentangkan pada mesyuarat sama kali ini.

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, RUU itu juga bertujuan memasukkan fasal baharu (1A) ke dalam Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan, untuk menghendaki mana-mana orang yang berumur bawah 18 tahun yang memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran, untuk mengangkat sumpah dalam masa 48 bulan apabila mencapai umur 18 tahun.

Selain itu, pindaan turut melibatkan Perkara 23 Perlembagaan Persekutuan dengan peruntukan hal keadaan tambahan bagi Kerajaan Persekutuan, untuk menahan pendaftaran akuan pelepasan kewarganegaraan mana-mana orang, jika pelepasan itu memudaratkan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam atau kepentingan awam.

Sementara itu, pindaan pada perenggan (a) Seksyen 1, Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan pindaan, bakal menyaksikan seseorang kanak-kanak yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu bermastautin secara tetap di Persekutuan, kini tidak lagi layak untuk mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang.

Pindaan ini juga memperuntukkan hak yang sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan yang mana ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara, untuk memperoleh kewarganegaraan, melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama ialah Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 bagi mengadakan peruntukan, antara lain terhadap penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara dan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara, sebagai langkah meningkatkan keselamatan siber.

Menteri Digital Gobind Singh Deo ketika membentangkan RUU itu memaklumkan, bacaan kali kedua akan turut diadakan pada mesyuarat kali ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas