Berita

Hari Polis ke-217: Pengorbanan, khidmat bakti Sang Saka Biru terus disanjung

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Mac 2024 4:00 PM MYT

MENGINJAK usia 217 tahun pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), peranan serta pengorbanan pasukan keselamatan negara itu dalam memelihara keamanan dan keharmonian negara terus dihargai dan disanjung masyarakat.

Sambutan Hari Polis ke-217 yang masih mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, diraikan serentak seluruh negara hari ini turut menjadi ruang kepada masyarakat pelbagai lapisan untuk menzahirkan penghargaan selain memperingati khidmat bakti pasukan Sang Saka Biru itu.

Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menghadiri sambutan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini yang turut dimeriahkan dengan persembahan Subuh Berdarah berkisarkan tragedi pertempuran polis dengan komunis di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh, Pahang pada 1949.

Di Perak, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengingatkan semua anggota polis supaya terus meningkatkan integriti serta berkhidmat dengan rasa penuh tanggungjawab demi memastikan keselamatan negeri dan rakyat sentiasa dijaga.

Sambutan Hari Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu turut menyaksikan Mohd Yusri menyampaikan surat penghargaan kepada pegawai kanan dan rakan strategik yang sentiasa menyumbang dan memberikan komitmen tidak berbelah bahagi kepada PDRM Perak.

Di Pahang, sambutan Hari Polis diraikan secara sederhana di Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, Kuantan yang disempurnakan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dan Timbalannya Datuk Noor Hisam Nordin.

Pada majlis sama, Yahaya turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 31 individu melibatkan pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam kontinjen Pahang.

Dalam pada itu, sambutan Hari Polis 2024 di peringkat negeri seperti di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Sabah dan Negeri Sembilan menyaksikan PDRM meraikan orang awam, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pengamal media dengan pemberian sijil penghargaan dan anugerah khas kerana membantu polis melaksanakan tugas menjaga ketenteraman awam dan membanteras jenayah.

Sementara itu, di Kelantan, Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun mengingatkan setiap anggota dan pegawai memperkukuhkan aspek integriti dalam penugasan supaya sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Juara Integriti Peringkat Kontinjen Kelantan kepada Ketua Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah ASP Samsuddin Paweddai kerana tindakannya menolak tawaran sebanyak RM200,000 daripada sindiket dadah bagi melepaskan suspek pada 2018.

Di Terengganu, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata pelbagai program dirangka sempena sambutan hari istimewa itu antaranya majlis bacaan tahlil ringkas dan Yasin, program derma darah serta gotong-royong bersama komuniti di lokasi yang terpilih.

“Sambutan Hari Polis hari ini melibatkan acara perhimpunan, bacaan lafaz ikrar, penyampaian sijil dan tahlil bagi memohon keberkatan, manakala program derma darah dan gotong-royong kita akan laksanakan dalam tempoh terdekat untuk mengeratkan hubungan antara polis dan komuniti,” katanya. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas