Berita

Rumah sempit antara punca sumbang mahram – Ezzaty

- Diterbit 18 Disember 2020 6:35 AM MYT

‘HARUAN makan anak’. Itulah diibaratkan gejala sumbang mahram yang bagaikan tiada kesudahannya.

Ibu bapa, abang atau datuk memperkosa perempuan yang mahram dengannya bukanlah perkara baharu, malah tetap berlaku walaupun kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha untuk menanganinya.

Bagi pelakon Ezzaty Abdullah, dia percaya keadaan rumah yang sempit seperti setinggan adalah antara faktor menyebabkan berlakunya bahana sumbang mahram.

“Keadaan rumah yang sempit di mana kekurangan bilik tidur sebenarnya boleh mengundang kepada perbuatan terkutuk sumbang mahram.

“Bayangkan jika rumah dua bilik didiami antara lapan hingga sepuluh ahli keluarga, ia boleh menyebabkan kurangnya privasi dalam kalangan mereka.

“Apatah lagi jika anak-anak sudah mula membesar dan terdorong mempunyai minat kepada berlainan jantina.

“Bagi saya, ia bukan perkara pelik, kerana semua ini memang berlaku dalam masyarakat kita,” katanya yang percaya hikmah ajaran Islam agar mengasingkan tempat tidur anakanak apabila sudah akil baligh.

Menurut Ezzaty, semua pihak maklum, Islam mensyariatkan supaya bilik untuk anak gadis diasingkan dengan bilik anak lelaki apabila mereka sudah akil baligh atau berakal.

“Ini adalah penting dalam menjaga batas aurat, pergaulan antara ibu bapa dengan anak dan adik beradik berlainan jantina.

“Ramai yang tahu sumbang mahram adalah dosa besar. Namun, kelemahan iman kadang-kadang menyebabkan nafsu mengatasi akal,” jelasnya lagi.

Bagi Ezzaty, ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan mendidik anak-anak tentang batas pergaulan dalam keluarga.

“Selain perlunya rumah yang selesa bagi sesebuah keluarga, cara lain untuk mencegah sumbang mahram adalah dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting agar anak-anak faham batas antara mereka apabila sudah meningkat remaja.

“Pendidikan awal tentang isu-isu sebegini penting untuk kesejahteraan hidup mereka,” luahnya lagi yang berharap gejala sumbang mahram dapat dicegah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas