Selebriti

Roslan Shah rebah di program WHI kini stabil

- Diterbit 28 Februari 2022 7:42 AM MYT

PENYANYI dan pengacara, Roslan Shah tiba-tiba rebah ketika tampil pada program Wanita Hari Ini (WHI) yang bersiaran secara langsung di studio Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, tengah hari, hari ini.

Menerusi program yang membawakan topik Si Mulut Tempayan, Roslan yang sedang rancak berbual dengan hos iaitu Fatin Hamimah dan Hawa Rizwana kemudian terbatuk-batuk sebelum jatuh dari kerusinya.

Disebabkan insiden itu, program tersebut dihentikan dengan siaran iklan.
Dalam masa yang sama, kakitangan studio memberikan bantuan selanjutnya kepada Roslan.

Doktor mendapati bacaan darah Roslan Shah agak tinggi.

Roslan kemudian dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan.

Menurut Unit Komunikasi TV3 menerusi sebuah kenyataan kepada media, Roslan kini berada dalam keadaan stabil.

“Beliau yang sedar dan memberi respon sepanjang tempoh itu didapati mengalami tekanan darah tinggi. Beliau terus dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dengan ambulans untuk pemeriksaan lanjut.

“Kami dimaklumkan keadaan beliau kini stabil dan pemeriksaan ujian saringan RTK menunjukkan keputusan negatif, sama seperti sehari sebelum hadir di Sri Pentas.

“TV3 amat menitik-beratkan keselamatan krew penerbitan dan tetamu serta mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, kami memastikan setiap tetamu jemputan perlu lengkap dua dos vaksin dan menjalankan ujian saringan RTK sebelum memasuki premis Sri Pentas,” katanya. 

Turut tampil dalam program terbabit ialah Pegawai Psikologi (Kaunseling) Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Nurul Hidayah Mat Sarip. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas